Nasib generasi terakhir KBSM


PADA 1983, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dibangunkan. Pada waktu itu, secara keseluruhannya, murid-murid belajar dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. 

Lima tahun berikutnya, pada 1988, Malaysia buat kali pertamanya menjelmakan hasrat pendidikan kebangsaan. 

Kenyataan hasrat itu disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Secara eksplisit, kita menzahirkan matlamat berpendidikan adalah untuk “...melahirkan insan yang seimbang dan harmonis… dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek..”.

Bertitik tolak dari situ, maka, kurikulum sekolah menengah dirombak menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada 1988. 

Pada 1993, kurikulum KBSR pula disemak semula dan dijenamakan semula sebagai KBSR, dengan ‘B’ berubah menjadi ‘Bersepadu’. 

Perubahan ini mendasar dengan prinsip pendidikan bersepadu merupakan bagi menjalin dan mengadunkan unsur-unsur ilmu dan kemahiran, bahasa, dan nilai-nilai dalam semua mata pelajaran. 

Pada waktu itulah, buat kali pertama, kita menganjakkan paradigma pendidikan kita bahawa nilai perlu merentas kurikulum. Terasnya indah, hebat dan menjanjikan perubahan pada masa hadapan negara.

Walau bagaimanapun, Kurikulum Bersepadu KBSR dan KBSM juga terpaksa mengalami perubahan dan semakan dari masa ke masa, termasuklah perubahan-perubahan yang kritikal, kontroversial dan mendasar seperti pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2002, yang mana akhirnya dimansuhkan secara softlanding (beransur-ansur) bermula 2012 sehingga ke kohort terakhir. 

Ini termasuklah perkenalan dengan Pentaksiran berasaskan Sekolah (PBS) pada 2010, dan menyebabkan perubahan peperiksaan PT3 pada 2014.

Seterusnya, pada 2010, kita melalui era Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan seterusnya Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017. 

Hari ini, pada tahun 2021, sedar tak sedar, anak-anak yang bakal mengambil SPM pada 22 Februari 2021 nanti adalah generasi saki-baki terakhir KBSM. 

Jika dilihat cabaran perubahan yang mereka lalui, kita akan tertanya, apa rupa bentuk kurikulum generasi KBSM terakhir ini? 

Mereka adalah generasi saki-baki terakhir KBSM dan dasar PPSMI yang bakal berakhir sepenuhnya pada 2022. Mereka juga rupanya generasi pertama yang bakal bergelut dengan kesan pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia.

Apabila SPM ditangguhkan berkali-kali, kita juga amat mengerti kesukaran yang mereka lalui. Kesan perubahan yang bukan-bukan sepanjang usia 12 (11+1) tahun persekolahan, sebenarnya terus meranapkan segala pelan asas dan teras KBSM itu sendiri. 

Pada hari ini, sudah tidak lagi dihayati kesepaduan nilai dan ilmu, tidak dibicarakan lagi kepentingan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan selain bahasa utama bernegara, apatah lagi nilai merentas kurikulum entah ke mana. 

Anjakan paradigma murid dan masyarakat yang sepatutnya beralih kepada melahirkan insan yang seimbang dan harmoni rupanya masih berjiwa kecil; jiwa yang masih berkiblatkan peperiksaan, berorientasikan kemajuan yang dimaknakan oleh barat, masih malu alah dengan bahasa kebangsaan.

Kesan pandemik memang di luar jangkaan, namun itu hanyalah secebis kerosakan di atas kerapuhan sistem pendidikan apabila asas dan teras pendidikan kebangsaan pendidikan bersepadu diranapkan dengan dasar flip-flop tanpa kajian empirikal seperti PPSMI. 

Sudahlah tahap soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dikatakan bakal mencecah 40%, ditambah kehilangan pembelajaran bersemuka lebih 100 hari akibat penutupan sekolah, dilengkapkan dengan kegawatan ekonomi yang tidak menentu apabila tamat persekolahan tingkatan lima. 

Akhirnya, beginilah nasib generasi terakhir KBSM. 

Sebagai orang dewasa, tidak rasa berdosakah kita? – 18 Februari, 2021. 

* Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim, naib presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen