Facebook sekat perkongsian berita di Australia


FACEBOOK pada Rabu berkata ia akan menyekat perkongsian kandungan berita di Australia, menolak untuk akur dengan peraturan yang memaksa gergasi sosial itu berkongsi pendapatan dengan media.

Australia bakal melaksanakan undang-undang yang akan memaksa syarikat digital membayar bagi setiap kandungan berita, tindakan yang akan menjadi kelaziman global dan menurut Facebook serta Google, merosakkan cara internet berfungsi.

“Undang-undang yang dicadangkan pada dasarnya salah faham hubungan antara platform kami dan penerbit yang menggunakannya untuk berkongsi kandungan berita,” kata Pengurus Facebook bagi Australia dan New Zealand, William Easton.

“Ia menjadikan kami terpaksa berdepan pilihan yang sukar: mematuhi undang-undang yang mengabaikan realiti hubungan ini, atau berhenti membenarkan kandungan berita dalam perkhidmatan kami di Australia. Dengan hati yang berat, kami memilih yang terakhir.”

Langkah Facebook berbeza dengan Google, yang dalam beberapa hari terakhir membuat perjanjian dengan kumpulan media, termasuk Rupert Murdoch’s News Corp., sebagai tindak balas terhadap desakan peraturan itu.

Awal minggu ini, pihak berkuasa Australia berkata kedua-dua syarikat gergasi teknologi AS itu hampir selesai perjanjian dengan media utama Australia untuk membayar berita bagi menyelesaikan kebuntuan yang dipantau rapat di seluruh dunia.

Syarikat itu mengancam menarik sebahagian perkhidmatan dari negara itu jika peraturan itu menjadi undang-undang, mencetuskan perang mulut dengan Canberra.

Easton berkata Facebook berhujah dengan pegawai Australia yang “pertukaran nilai antara Facebook dan penerbit menyebelahi penerbit,” dan menjana pendapatan ratusan juta dolar bagi organisasi media.

“Kami sekian lama berusaha mencapai peraturan yang akan mendorong inovasi dan kerjasama antara platform digital dan organisasi berita,” kata Easton.

“Sayangnya undang-undang ini tidak begitu. Sebaliknya ia bertujuan menghukum Facebook kerana kandungan yang tidak diambil atau diminta.” – AFP, 18 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen