Parlimen perlu dibenar bersidang selepas wakil rakyat divaksin, kata ahli Parlimen DAP  


PERSIDANGAN Parlimen mesti diteruskan selepas semua ahli Parlime menerima vaksin Covid-19, kata Ahli Parlimen DAP Chan Foong Hin. 

Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata tiada sebab untuk Parlimen tidak boleh bersidang, paling awal pada Mei, selepas semua ahli Parlimen divaksinasi. 

“Memandangkan semua ahli Parlimen menerima vaksin dan menjadi imun kepada Covid-19, jadi tiada sebab untuk tutup Parlimen. 

“Apabila program imunisasi Fasa 1 selesai, tiada sebab lagi untuk menangguhkan atau menggantung persidangan Parlimen. Fasa 1 akan bermula dari 26 Februari hingga April. 

 “Dalam keadaan ini, Parlimen harus bersidang kembali pada bulan Mei, sejurus selepas berakhirnya Fasa 1,” kata Chan dalam satu kenyataan.

Sebagai langkah pencegahan, semua pegawai dan pembantu kepada wakil rakyat yang hadir ke Parlimen perlu diberikan vaksin, tambahnya. 

Parlimen kini digantung selepas negara dalam perintah darurat, yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat kerajaan. Perintah darurat itu dikuatkuasakan untuk menangani pandemik Covid-19 namun ia dikritik dan timbul dakwaan ia kerana sebab politik berikutan Muhyiddin hilang sokongan majoriti di Parlimen. 

Perintah darurat itu dijadualkan tamat pada 1 Ogos atau lebih awal sekiranya situasi pendemik semakin terkawal. 

Semalam, Muhyiddin ketika melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjanji untuk memberikan vaksin kepada semua ahli Parlimen pada fasa pertama program berkenaan.

Ahli Parlimen akan menerima vaksin bersama dengan petugas barisan hadapan. – 17 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen