Putrajaya pertimbang masukkan media, guru dalam senarai utama vaksinasi, kata PM


Ragananthini Vethasalam

PUTRAJAYA akan mempertimbangkan untuk memasukkan pengamal media dan guru dalam senarai penerima vaksin awal, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kami akan mempertimbangkan semua permintaan untuk permohonan oleh kumpulan tertentu dalam masyarakat termasuk mereka yang terlibat dalam media dan tentu sahaja guru-guru yang berada dalam kategori tertentu dan didefinisikan sebagai barisan hadapan selain kumpulan lain dalam masyarakat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Setakat pengetahuan saya, mereka dapat diberi vaksin awal ketika kita melancarkan (program) kerana kerja mereka.

“Operasi mereka dari hari ke hari melibatkan banyak orang dan kami percaya mereka berisiko jika tidak diberi vaksin ... 

“Jika kami dapati mereka berisiko sekiranya tidak divaksin, maka kami akan mempertimbangkan mereka sebagai antara penerima pertama program vaksinasi,” tambahnya.

Muhyiddin menambah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan melihat keperluan mempertimbangkan wartawan dan guru sebagai antara kumpulan terawal untuk vaksinasi.

Wartawan veteran baru-baru ini mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk mengutamakan wartawan untuk menerima vaksin kerana sifat pekerjaan mereka.

Begitu juga, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang turut menyeru memasukkan ahli mereka dalam fasa pertama vaksinasi itu.

Selain itu, Muhyiddin berkata Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari kedua belah pihak akan divaksin pada fasa pertama kerana kerja mereka menuntut mereka untuk selalu bertemu dengan orang ramai. – 16 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen