Undi tak percaya tak gugat kerajaan konservatif Slovenia


Pembangkang menuduh Perdana Menteri Janez Jansa cuba mengubah negara itu menjadi negara autoritarian. – Gambar AFP, 16 Februari, 2021.

KERAJAAN konservatif Slovenia pimpinan Perdana Menteri Janez Jansa selamat dari undi tidak percaya oleh parti pembangkang yang menuduhnya cuba mengubah negara itu menjadi “demokrasi autoritarian”.

Usul itu, yang diajukan oleh parti pembangkang kiri-tengah disokong oleh 40 undi, dengan tujuh ahli Parlimen menentang manakala enam undi rosak, menjadikan pembangkang kekurangan 46 undi yang diperlukan untuk menjatuhkan kerajaan.

Ini adalah percubaan kedua dalam beberapa bulan untuk mengusir Jansa. Pada Januari, gerakan serupa gagal kerana ketidakhadiran beberapa ahli parlimen kerana Covid-19.

Karl Erjavec, pemimpin parti pembangkang Desus berkata, beliau “menyesal kerana hanya mendapat 40 undi, saya menjangkakan lebih banyak”.

“Waktu untuk perubahan belum tiba,” katanya, sambil menambah ianya terserah kepada para pengundi untuk memberikan penilaian kepada kerajaan dalam pilihan raya yang dijadualkan tahun hadapan.

Erjavec mengemukakan usul itu minggu lalu atas nama lima parti kiri-tengah pembangkang.

Ahli politik veteran Jansa, yang telah bertugas sebagai perdana menteri sejak Mac lalu adalah sekutu rapat Perdana Menteri nasionalis Hungary, Viktor Orban.

Beliau telah meniru retorik keras Orban mengenai migrasi dan menuduh media berbohong kerana mengkritiknya menguruskan wabak.

Pembangkang menuduh Jansa menggunakan pandemik Covid-19 untuk melemahkan institusi negara dan media bebas, selain menentang nilai-nilai Perlembagaan.

Jansa menolak tuduhan pembangkang dengan menyebut gerakan itu “pembaziran wang pembayar cukai”.

“Kerajaan kita telah melakukan lebih banyak daripada sebelumnya, dalam waktu singkat dan dalam waktu pandemik, malah rakyat sedar dan dapat merasakannya,” kata Jansa.

Pada Januari 2020, kerajaan lima parti jatuh di kerana perbalahan dalaman. – AFP, 16 Februari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen