Pekerja gig juga manusia, bukan hamba


NEGARA mencatatkan peratus tinggi bagi kadar pengangguran iaitu 4.8% dengan seramai 764, 000 orang tidak mempunyai pekerjaan. Namun, masalah pengangguran bukanlah sesuatu masalah yang baru.

Setiap tahun kita menghadapi masalah yang sama, tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan bagi graduan. Jadi tidak hairanlah dalam ekonomi yang tidak menentu ramai yang beralih kepada gig untuk mencari rezeki terutamanya golongan muda.

Jelas sekali kita gagal, bukan kerana pekerjaan gig merupakan pekerjaan kelas kedua tetapi kita gagal dalam menyediakan peluang bagi mereka memilih seperti yang dirasai oleh generasi terdahulu.

Ramai yang terpaksa memilih untuk menceburi sektor gig terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat kehilangan pekerjaan, bagi mencari pendapatan sampingan, atau pengangguran.

Berdasarkan data pada 2020, terdapat 26%, (4 juta orang) yang bekerja di bawah ekonomi gig. Jumlah 4 juta bukan jumlah sedikit bahkan ia sedang meningkat dengan kadar yang cepat membuktikan kepentingan sektor gig dalam ekonomi negara.

Namun amat sedih sekali apabila mereka tidak dilihat sebagi aset tetapi sebagai hamba yang mudah untuk di eksploitasi. Padahal merekalah yang merupakan tulang belakang terutamanya bagi kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama, lebih 32,469 usahawan PKS gulung tikar.

Ini amat membimbangkan kerana sektor PKS menyumbang sebanyak 38.3% atau RM 522.1 bilion kepada ekonomi negara. Apa yang akan terjadi kepada pendapatan negara jika lebih ramai PKS gulung tikar? Tentunya ia akan merugikan negara.

Saya amat kesal dan berduka cita melihat kes yang viral baru-baru di J&T Express. Sekumpulan pekerja dikatakan tidak berpuas hati apabila gaji dan komisen didakwa akan dikurangkan dari  RM1.50 kepada RM0.60 bagi setiap barang. Jika ini berlaku, ia merupakan pengurangan lebih 50%.

Apakah perasaan anda jika perkara ini berlaku kepada diri sendiri? Lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang kian meningkat. Walaupun cara yang diambil tidak betul namun kemarahan dan kekecewaan mereka harus diberi perhatian kerana kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.

Akhirnya, tujuh daripada pekerja J&T memohon maaf ke atas tindakan mereka. Namun bukankankah syarikat J&T yang seharusnya memohon maaf kerana tidak mampu untuk menyediakan penjelasan atau memperuntukan gaji yang setimpal dengan usaha pekerja?

Sebagai seorang pemandu e-hailing saya amat memahami perasaan rakan-rakan yang berada di dalam industri gig ini. Pekerjaan ini bukanlah mudah seperti yang disangka, kami terpaksa berpanas dan bersejuk bagi menjaga keselesaan atau perkhidmatan bagi pelanggan.

Kami tiada waktu tetap untuk berehat, dan apatah lagi untuk makan. Kerap kali kami terpaksa makan apa yang ada saja di mana-mana seperti tepi jalan atau kedai ketika menunggu pelanggan.

Jika hujan kami terpaksa berhenti kerana ia amat merbahaya, ramai antara kami akan berlindung di bawah jambatan atau bangunan. Selain itu, risiko bagi kami untuk dijangkiti Covid-19 lebih tinggi kerana lebih terdedah apabila terpaksa berurusan dengan ramai pelanggan terutamanya bagi kami yang sudah berkeluarga.

Kerajaan haruslah lebih prihatin dengan keadaan kami. Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk membela nasib kami seperti:

a)   Undang-undang dirangka khusus bagi sektor gig yang menggariskan syarikat harus membayar pekerja dengan gaji/over time yang setimpal.

b)   Syarikat wajib menyediakan manfaat insentif dan pekerja seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pelindungan kesihatan, keselamatan di tempat kerja akibat kecelakaan, Covid-19, dan sebagainya.

Tidak dapat disangkal lagi ramai yang menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19 namun sesetengah dari kita menghadapi kesusahan lebih dari yang lain. Ramai yang masih belum mendapat menikmati sumber yang mencukupi untuk hidup secara bermaruah dan secara jujur ia amat menyedihkan.

Kita harus jelas akan masalah yang dihadapi, iaitu bukan sahaja pandemik namun sistem buruh di Malaysia yang memerlukan naik taraf.

Janganlah kerajaan menjadi sombong dan bebal, hanya mendongak ke atas tetapi tidak melihat ke bawah dan merasai sendiri masalah rakyat kerana kesabaran kami ada hadnya dan yang berada di atas tidak akan sentiasa berada di atas selamanya. – 16 Februari, 2021.

* Abdul Bar ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen