Hanya 3 dari 13 kluster baharu Covid-19 tidak berkaitan tempat kerja


Ragananthini Vethasalam

Kluster tempat kerja terus mendominasi senarai kluster baharu setiap hari dengan 10 lagi kluster dilaporkan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Februari, 2021.

KLUSTER tempat kerja terus mendominasi senarai kluster baharu setiap hari dengan 10 lagi kluster dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan kluster jangkitan aktif di negara ini kini sebanyak 489 kluster.

Beliau berkata kluster Jalan Cheras di Selangor adalah salah satu daripada tiga kluster bukan tempat kerja yang dilaporkan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 24 jangkitan ditemui di rumah jagaan di Jalan Cheras, Kajang dan melibatkan komuniti berisiko tinggi.

Beliau berkata Pengkalan Teras di Terengganu yang merupakan kluster tempat kerja dilaporkan berpunca dari jangkitan komuniti. Kluster ini melaporkan 29 kes.

Sementara itu Noor Hisham berkata kluster pusat tahanan Tembok Tapah di Perak melaporkan 64 kes.

Selain Jalan Cheras, Selangor juga melaporkan empat lagi kluster yang kesemuanya berkaitan dengan tempat kerja.

Katanya empat kluster lain ialah Jalan Bursa(22), Jalan Kepong(23), Jalan Tiga Belas (11) and Jalan Tropicana (25). 

Noor Hisham berkata Pulau Pinang melaporkan dua kluster tempat kerja iaitu Tapak Persiaran Mutiara dan Jalan Baru yang masing-masing melaporkan 22 kes dan 14 kes.

Menurutnya keluster kedua yang dilaporkan di Terengganu hari ini adalah Guntong Dalam yang mencatatkan 43 kes.

“Kuala Lumpur dan Johor masing-masing merekodkan satu kluster,” katanya.

Noor Hisham juga mengumumkan penamatan lapan kluster tidak aktif.

Kluster berkenaan ialah Jalan Sibuga, Taman Tasik Sungai Chua, Jalan Bukit Bendera, Lumut Barat, Pagar Siput, Kampung Renok, Sungai Redan, and Bah Manggis. – 15 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen