Kerajaan gagal tangani krisis Covid-19, kata Daim 


Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata kegagalan kerajaan menangani krisis pandemik Covid-19 menyebabkan rakyat merasa terabai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2021.

KERAJAAN tiada keseragaman dalam mengorak hala tuju memerangi Covid-19, kata Daim Zainuddin.

Dalam temubual yang disiarkan FMT hari ini, beliau berkata ianya jelas apabila “apabila setiap kementerian bergerak secara bersendirian”.

“Rakyat masih belum nampak walau satu contoh pun usaha sama membabitkan pelbagai kementerian dalam memerangi wabak ini selain kehadiran anggota tentera di sekatan jalan raya,” Daim dipetik sebagai berkata.

Malah katanya kegagalan menyediakan sambungan internet yang stabil dan menangani masalah pembelajaran dari rumah untuk pelajar juga satu contoh kegagalan kerajaan dalam penyelarasan.

“Mengapa kementerian dan agensi komunikasi dan multimedia tidak duduk bersama Kementerian Pendidikan mencari jalan menyelesaikan masalah sambungan internet untuk pelajar yang dipaksa belajar dalam talian?

“Pelajar merasakan mereka diabaikan oleh kerajaaan, sesungguhnya mereka berhak berasa demikian,” kata Daim yang pernah mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata kerajaan Muhyiddin Yassin menyebabkan rakyat rasa terabai dan mengatakan kebanyakan kementerian tidak menampakkan peranan mereka dalam menangani krisis kesihatan.

“Orang ramai sudah tidak melekat di depan kaca TV untuk mengikuti sidang media setiap petang.

“Tidak siapa yang ambil tahu mengenai SOP yang kerap berubah, mahupun angka jangkitan atau nama kluster yang tidak membantu (keadaan mereka),” kata Daim.

Beliau turut membidas keputusan kerajaan mengurangkan tempoh kuarantin menteri kepada tiga hari dan mengatakan ia tidak berpandukan sains.

“Di mana penjelasan atau sokongan saintifiknya untuk buat keputusan seperti itu? Apa yang rakyat nampak ialah penguatkuasaan undang udang dua darjat – lain untuk rakyat lain untuk orang berkedudukan tinggi,” kata Daim.

Tambahnya rakyat Malaysia sudah penat berpolitik dan sudah berhenti mengikut perkembangan politik.

“Rakyat tetap mahu darurat tamat sebelum 1 Ogos,” katanya.

“Mereka mahu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bersidang semula supaya wakil yang mereka pilih boleh menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.” – 15 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen