Mahkamah tolak permohonan Najib gugurkan Sri Ram


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini tolak permohonan Najib Razak menggugurkan Gopal Sri Ram daripada pasukan pendakwa dalam perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menggugurkan Gopal Sri Ram daripada pasukan pendakwa dalam perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan permohonan Najib terhadap Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, adalah tidak berasas dan silap.

“Pertimbangan berbeza akan diberikan jika ia dilakukan (pendapat Sri Ramai menyebabkan berat salah) ketika menjalankan tugasnya sebagai timbalan pendakwa raya.

“Namun seperti dibangkitkan oleh responden (pasukan pendakwa) ia (dakwaan berlaku berat sebelah dalam mesyuarat Sri Ram bersama bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali pada awal 2018) terjadi sebelum Sri Ram dilantik sebagai timbalan pendakwa raya.

“Pemohon (Najib) tidak membuat sebarang permohonan lebih awal untuk mengadu tentang perlakuan Sri Ram dalam perbicaraan itu (kes meminda laporan audit 1MDB) membabitkan pemohon,” kata hakim dipetik berkata seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini.

Perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB dijadualkan bersambung pada 22 Februari dengan hari ini ditetapkan untuk keputusan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram.

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Arul Kanda Kandasamy, 43, bekas CEO 1MDB pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Najib dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari, 2016 dan 26 Februari, 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – 15 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen