Kadar kebolehjangkitan Covid-19 menurun 


Ragananthini Vethasalam

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau r-naught (R0) menurun 0.03 kepada 0.89 semalam berbanding 0.92 pada hari sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter.

Kedah mencatatkan R0 tertinggi 1.06 diikuti Pulau Pinang 1.03 dan Kelantan 1.01.

Semua negeri lain melaporkan r-naught bawah 1.0 yang mana Labuan merekodkan R0 terendah iaitu 0.56.

R-naught menunjukkan jumlah jangkitan baru yang dianggarkan berpunca dari satu kes.

Semalam Malaysia melaporkan hampir dua kali ganda jumlah kes pulih hari ini selepas merekodkan 4,525 kes pulih berbanding 2,464 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes pulih yang dilaporkan hari ini juga merupakan rekod paling tinggi yang mana sebelum ini kes pulih tertinggi pernah direkodkan adalah 4,522 pada 31 Januari.

Semalam merupakan hari keempat berturut-turut jumlah kes pulih melebihi kes jangkitan baharu.

Memandangkan negara melaporkan lebih banyak kes pulih hari ini, jumlah kes aktif menurun kepada 49,490 dengan 260 dirawat di unit rawatan rapi dan 111 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada jumlah jangkitan baharu, Dr Noor Hisham berkata 2,461 adalah penularan tempatan manakala tiga kes import.

Menurutnya daripada 2,461 penularan tempatan, 1,705 melibatkan warga Malaysia dan 756 adalah warga asing. – 15 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen