Vaksin percuma kepada warga asing langkah tepat, kata badan pemikir


Langkah memberi vaksin kepada semua penduduk termasuk warga asing akan membolehkan ekonomi dibuka semula dan menjadikan negara sebagai destinasi yang selamat kepada pelabur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2021.

KEPUTUSAN Putrajaya melibatkan sekali warga asing untuk menerima vaksin Covid-19 secara percuma adalah langkah yang baik, kata Galen Centre for Health & Social Policy. 

Ketua eksekutifnya Azrul Mohd Khalib berkata keputusan kerajaan baru-baru ini untuk memasukkan warga asing adalah tepat dan termasuk dalam amalan kesihatan awam yang baik.

“Jika anda ingin membuka kembali sektor ekonomi, membangunkan semula mata pencarian dan menempatkan Malaysia sebagai destinasi yang selamat dan bertanggungjawab bagi pelabur, pelancong dan negara lain, kita perlu memastikan strategi Covid-19 seperti melancarkan vaksin merangkumi semua orang, tanpa meninggalkan sesiapa pun,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, Putrajaya mengumumkan semua warga asing di Malaysia akan mendapat vaksin Covid-19 percuma.

Jawatankuasa Khas Vaksinasi Covid-19 (JKJAV) berkata Kabinet bersetuju memasukkan semua warga asing yang tinggal di Malaysia dalam program Imunisasi Nasional Covid-19.

Azrul berkata, koronavirus tidak membezakan atau peduli sama ada seseorang itu rakyat Malaysia, atau jenis dokumentasi yang mereka bawa.

Beliau berkata bagi memastikan semua orang diberi vaksin, akan memberi perbezaan yang ketara.

“Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara sudah mendapat vaksin bersama warganegara lain, dan tidak dikecualikan daripada program vaksinasi di lokasi tersebut.

“Memastikan ramai orang diberi vaksin terhadap Covid-19, tanpa diskriminasi, berat sebelah atau pilihan adalah strategi kesihatan awam untuk mencapai objektif imuniti kelompok.”

Beliau menambah negara tidak akan dapat mencapainya, jika bersikap memilih siapa yang perlu diberikan vaksin.

“Negara yang menggunakan pendekatan ini telah melihat perubahan signifikan dan positif dalam wabak mereka.

 “Usaha untuk mengawal penyebaran Covid-19 di Malaysia akan diperkukuhkan dengan keputusan ini.”

Azrul berkata mereka akan menyokong kerajaan dan penerapan prinsip bahawa “tiada yang selamat, sehingga semua orang selamat”.

Putrajaya akan melaksanakan program vaksinasi akhir bulan ini dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi yang pertama menerima suntikan.

“PM akan menjadi orang pertama diberi vaksin dengan vaksin Pfizer untuk memberi keyakinan kepada orang ramai yang vaksin itu selamat,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semalam.

Pada 4 Februari, Muhyiddin berkata program imunisasi Covid-19 negara akan dimulakan pada akhir bulan ini, dengan kerajaan mensasarkan 80% penduduk negara ini menerima vaksin dalam tiga fasa.

Fasa pertama, dari Februari hingga April, adalah untuk 500,000 barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam memerangi Covid-19. 

Fasa kedua, dari April hingga Ogos, adalah untuk kumpulan berisiko tinggi, terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi, serta kelainan upaya.

Fasa ketiga adalah dari Mei hingga Februari tahun depan dan mereka yang berumur 18 tahun ke atas. – 13 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen