Rasisme berlaku kerana kelas sosial, bukan bangsa


PANDEMIK Covid-19 mengajarkan kita banyak perkara, termasuklah semangat kekitaan yang muncul dalam waktu-waktu yang sukar. Malaysia bukanlah negara yang sempurna, tapi sejak dahulu lagi kita terkenal sebagai negara berbilang kaum yang mampu hidup dalam keadaan harmoni.

Kedatangan pandemik di Malaysia memberikan kita satu pengajaran baharu – isu rasisme di Malaysia sebenarnya ditunjangi oleh permasalahan kelas sosial yang menjadikan rakyat ada darjat yang berbeza. Saya tidak menafikan wujudnya rasisme berasaskan kaum, cuma diskriminasi berasaskan kelas ini merupakan sesuatu yang lebih kronik. Kita ada golongan kayangan yang selalunya hilang bayangan tentang nasib kelas pekerja yang terkesan akibat pandemik. Malangnya, kelas kayangan (elitis) selalunya menjadi pemegang taruh terbesar dalam pembinaan polisi dan dasar negara; disebabkan hal ini dasar-dasar kerajaan sering memberi keuntungan kepada kelas kayangan.

Semangat kita jaga kita dihayati oleh rakyat Malaysia

Sekiranya kita melihat semangat yang ditonjolkan oleh rakyat Malaysia sepanjang pandemik, kita dapati semangat tolong-menolong tanpa mengira bangsa berlaku dengan rancak. Kita menghulurkan bantuan semampunya pada sesiapa yang berada dalam kesusahan tanpa mengira bangsa. Masyarakat yang hidup dalam kelas yang sama memahami kesukaran yang dihadapi dan mengetahui bentuk bantuan sebenar yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Saya masih ingat sebuah video yang tular beberapa minggu lepas – video rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa cuba menyelamatkan anjing yang tersepit di tepi jalan – walaupun ia bukan contoh terbaik dalam memberi gambaran kesatuan rakyat ketika pandemik, tapi ia menghantar mesej keharmonian yang kuat. 

Sebaliknya apa yang berlaku ketika pandemik ini adalah golongan kayangan yang kurang terkesan akibat pandemik. Bagi golongan kayangan, kesukaran ketika pandemik adalah penurunan keuntungan syarikat; bagi marhaen, kesukaran adalah tidak mendapat bekalan makanan. Sudah tentu kesukaran ini akan diuruskan dengan cara yang berbeza. Kompaun maksimum RM1,000 yang dikenakan sekiranya melanggar SOP turut memiliki nilai yang berbeza. Bagi kelas kayangan ia umpama duit kopi, bagi kelas pekerja ia adalah perbelanjaan bulanan. Disebabkan hal ini kita melihat ramai golongan kayangan yang sambil lewa dalam pematuhan SOP, lebih-lebih lagi ahli politik yang merasakan diri mereka sudah cukup berkuasa. 

Isu rasisme berdasarkan kaum sering dinyanyikan oleh ahli politik kerana ia sentiasa memberi keuntungan kepada kelas kayangan. Apabila kelas pekerja bergaduh sesama meraka, maka kesatuan dalam kalangan pekerja hampir mustahil akan berlaku. Rakyat dari kelas pekerja harus berganding bahu tanpa mengira bangsa, agama, dan ideologi untuk memastikan golongan kayangan tidak menjadi punca kesusahan mereka. Jika gerakan kesatuan ini dapat dilaksanakan, sudah tentu ia mampu untuk mendesak kerajaan memperkenalkan gaji wajar di Malaysia. Semangat kita jaga kita harus diteruskan di luar konteks pandemik; ia harus dijadikan cara hidup jika kita mahu Malaysia bergerak lebih jauh ke hadapan. 

Mari kita menyemak semula apa yang berlaku pada tahun lepas. Pada bulan Jun-Ogos 2020, rakyat Malaysia telah menang melawan Covid-19, hasil daripada usaha keras yang kita lakukan untuk membendung Covid-19. Kemudian apa yang terjadi? Pihak kayangan mengambil keputusan untuk melakukan pilihan raya ketika kes di Sabah meningkat mendadak, dan ada pengecualian SOP berlaku untuk memberi kesenangan kepada ahli politik. Harga daripada insiden ini kita masih bayar sehingga ke hari ini. Siapa yang menerima kesan terbesar daripada aksi-aksi golongan kayangan ini? Sudah tentu rakyat. Hari ini Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan semula – lihatlah betapa ramai rakyat yang sedang resah kerana kehilangan punca pendapatan.

Menjelang pilihan raya akan datang, saya berharap kita harus berhati-hati dengan ahli politik yang menggunakan ‘rasisme’ sebagai bahan kempen. Kita harus bertanya kepada mereka, siapa sebenarnya yang rasis dan mendiskriminasi? Adakah kami sesama rakyat, atau golongan kayangan yang selalu membebankan golongan pekerja? Ketika krisis ahli-ahli politik mendapat gaji penuh walaupun mereka adalah punca masalah. Rakyat biasa yang telah menang melawan Covid-19 pula yang perlu membayar harga ketamakan mereka. Marilah kita bersatu dalam semangat kita jaga kita untuk menentang kedangkalan kaum elitis. – 12 Februari, 2021.

* Rahman Imuda merupakan seorang penulis dan aktivis buruh.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen