Berakhirnya era parti 'Abang Besar' di Malaysia


SETELAH lebih 60 tahun berada bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Umno, rakyat Malaysia terbiasa dengan dominasi hegemoni parti politik tunggal.

Malah kebanyakan daripada kita masih terperangkap dalam kerangka pemikiran perlu adanya satu parti dominan dalam satu gabungan politik.

Namun keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 menunjukkan struktur ini tidak lagi terpakai dalam konteks politik semasa negara. Model politik kita berubah. Tiada lagi satu parti yang dominan dalam kerajaan, baik semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, masih ramai lagi ahli politik yang tidak boleh menerima kenyataan bahaw lanskap politik Malaysia sudah berubah. Bahkan, Perdana Menteri  Muhyiddin Yassin sendiri pun tidak dapat membebaskan diri daripada andaian dan pemikiran lapuk ini.

Beliau masih lagi terperangkap dengan obsesi untuk memperoleh majoriti yang selesa dalam Parlimen sekali gus mengukuhkan kedudukan beliau dan menjadikan Bersatu sebagai parti dominan.

Boleh dikatakan juga, ketidakstabilan pentadbiran Muhyiddin hari ini lahir daripada persaingan antara Bersatu dan juga Umno untuk menjadi “abang besar” dalam gabungan PN.

Pertembungan Umno dan Bersatu

Bagi tujuan ini, Muhyiddin berusaha untuk memperkukuh kedudukan parti demi persiapan menghadapi PRU15 menerusi segala cara yang ada, sampai ada ahli Umno sendiri yang menuduh Bersatu sedang berusaha untuk menarik ahli-ahli Umno supaya menyertai parti itu.

Persaingan kuasa ini tentunya tidak diambil ringan oleh Umno. Parti yang dulunya merupakan abang besar dalam BN tidak mungkin akan berdiam diri apabila berhadapan dengan ancaman langsung daripada Bersatu.

Apatah lagi, bagi Umno, mereka menganggap kebanyakan kerusi-kerusi Bersatu itu sebagai milik Umno pada asalnya.

Bagi menyelesaikan kemelut ini, kedua-dua pihak bertekad untuk bertembung pada PRU15 walaupun ia diadakan ketika tempoh pandemik. Kedua-dua Bersatu dan Umno begitu yakin mereka dapat merangkul majoriti yang selesa dan seterusnya mendominasi gabungan kerajaan baharu ini.

Namun begitu, tiada jaminan mana-mana parti dapat menang besar dalam pilihan raya akan datang. Kemungkinan besar juga keputusan pilihan raya itu mirip keputusan sekarang yang mana tiada pihak memperoleh majoriti selesa dan memberangsangkan. Kerajaan yang dibentuk juga mungkin hanya akan mendapat majoriti tipis.

Kalau kita lihat balik sejak pilihan raya 2008, jumlah undi yang diterima oleh gabungan parti kerajaan dan pembangkang hampir sama.

Pada 2008, BN menang 53% undi popular; pada 2013, gabungan pembangkang pada masa itu memenangi 51% undi popular; dan pada 2018, PH memperoleh 48% dalam situasi tiga penjuru.

Maka, kita tidak boleh menolak kemungkinan komposisi kerusi tidak akan berubah banyak. Tiada pihak yang akan menang besar.

Jika begitu, pilihan raya bukanlah langkah penyelesaian bagi kebuntuan ini.

Hala tuju gabungan politik Malaysia

Dalam hal ini, pendapat Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong ada munasabahnya. Arena politik Malaysia sudah berubah jadi pendekatan parti-parti politik juga perlu berubah.

Contohnya, kalau ramai pengguna sudah biasa menggunakan khidmat penstriman seperti YouTube atau Netflix, takkan penyedia kandungan (content provider) pula masih berdegil untuk menjual kaset video VHS kepada mereka. Tentunya tidak. Mereka yang enggan menukar haluan pastinya akan ditelan dek arus zaman.

Parti politik di Malaysia haruslah menginsafi perkembangan politik semasa dan membina semula gabungan politik yang lahir daripada semangat kerjasama bukannya dominasi abang besar. Dari segi itu juga, kita perlu memikir semula bagaimana kita mengkonsepsikan persoalan kepemimpinan politik.

Dengan tamatnya dominasi hegemoni satu parti politik, era pentadbiran perdana menteri berkuasa tunggal juga sudah berakhir.

Sebagai sistem demokrasi beracuan Westminster, kuat atau lemahnya suatu pentabiran bergantung kepada kaliber dan prestasi barisan kabinetnya. Bagi gabungan politik, ini bermakna mereka harus mengetengahkan sekumpulan pemimpin yang berketerampilan dan berkebolehan demi memastikan kelangsungan mereka.

Kepelbagaian bakat dengan mencampurkan nama baharu dengan personaliti yang berpengalaman mungkin berupaya menjadi kunci untuk memikat para pengundi di masa hadapan.

Tawaran kepada pengundi juga perlu diperbaharui. Buku-buku tebal manifesto mungkin bukan lagi medium paling berkesan untuk memenangi hati dan minda para pengundi.

Sebaliknya idea baharu yang mampu menyelesaikan masalah seharian rakyat daripada segi kelangsungan hidup, mata pencarian, kebajikan dan jaminan kehidupan bermaruah antara lain memainkan faktor penting dalam pertimbangan para pengundi.

Komunikasi secara langsung dan berterusan melalui proses libat urus pengundi secara maya dan berkala mungkin menjadi salah satu platform penting dalam persediaan kempen PRU15.

Pandemik Covid-19 menyerlahkan ketempangan sistem ekonomi dan aturan sosial negara kita. Mereka yang berada bertambah kaya, tetapi mereka yang rentan terus bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.

Tempoh antara hari ini sehingga PRU15 bakal menjadi kayu ukur.

Mana-mana gabungan politik yang dapat memposisikan diri mereka dengan mengetengahkan penyelesaian-penyelesaian segar bagi masalah rakyat berkemungkinan akan muncul sebagai pemenang bagi pusingan akan datang. – 10 Februari, 2021.

* Raja Ahmad Iskandar Fareez ialah pengarah komunikasi REFSA


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen