Ratusan rakyat Denmark bantah sekatan Covid-19


Penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam demonstrasi anjuran 'Men in Black Denmark' pada 23 Januari lalu bagi membantah sekatan pandemik dan juga vaksinasi Covid-19. – Gambar EPA, 7 Februari, 2021.

RATUSAN penunjuk perasaan keluar di sekitar jalan di Copenhagen, Denmark pada malam Sabtu untuk memprotes sekatan dilaksanakan kerajaan bagi membendung Covid-19 dan rancangan negara itu untuk mendapatkan sijil vaksinasi digital.

Dianjurkan oleh sebuah kumpulan yang menggelarkan mereka sebagai “Men in Black Denmark”, kira-kira 600 orang berkumpul di depan bangunan Parlimen untuk memprotes “kediktatoran” langkah pengurungan Denmark.

Pelan “pasport” vaksin digital adalah sasaran utama kemarahan mereka.

Seperti Eropah lain, Denmark berhasrat untuk membangunkan sijil digital vaksinasi Covid-19 untuk perjalanan.

Ia juga berpotensi digunakan dalam sukan dan acara kebudayaan serta restoran.

Penganjur protes berkata pasport seperti itu menunjukkan kewajiban untuk diberi vaksin dan sekali gus merupakan sekatan terhadap kebebasan individu. Vaksinasi tidak wajib di Denmark.

Penunjuk perasaan, termasuk beberapa memakai hud, berarak dengan obor di tengah ibu kota Denmark, sambil melaungkan “kebebasan untuk Denmark.”

Penunjuk perasaan membawa gambar Perdana Menteri Mette Frederiksen yang dibuat kelihatan seperti diktator Korea Utara Kim Jong Un.

Perarakan yang dibenarkan itu berjalan dengan dengan sejumlah besar polis dikerah untuk berkawal.

Dua minggu lalu, protes serupa termasuk membakar patung perdana menteri, yang menyebabkan penangkapan dua individu kerana ancaman terhadap Frederiksen.

Kedai, bar dan restoran yang tidak penting ditutup di negara Skandinavia yang berjumlah 5.8 juta penduduk itu dan kerajaan melanjutkan sekatan sehingga sekurang-kurangnya 28 Februari.

Bagaimanapun, sekolah rendah dibenarkan dibuka semula pada Isnin. – AFP, 7 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen