Microsoft sekat dana ahli politik bantah keputusan pilihan raya AS


Microsoft semalam umum akan menggantung sementara dana kepada ahli politik yang membantah keputusan pilihan raya presiden AS November lalu. – Gambar EPA, 6 Februari, 2021.

MICROSOFT semalam umum akan menggantung sementara dana kepada ahli politik yang membantah keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) November lalu, atau menyokong usaha untuk menafikan kemenangan Joe Biden.

Sumbangan dari majikan, pemegang saham dan ahli keluarga yang disalurkan melalui Microsoft Corporation Stakeholders Voluntary PAC (MSVPAC) kepada wakil rakyat terbabit akan digantung sehingga 2022, kata naib presiden korporatnya  Fred Humphries.

Tambah beliau, jawatankuasa tindakan politik (PAC) akan menubuhkan Democracy Forward Initiative bagi menyokong pembaharuan pembiayaan kempen dan hak mengundi.

“Kami percaya langkah ini perlu demi kestabilan dan masa depan demokrasi AS,” tulis Humphries di blognya.

PAC menggantung sumbangan politik susulan serangan ke atas bangunan Capitol oleh penyokong bekas presiden AS Donald Trump.

Humphries berkata Microsoft PAC menggantung semua sumbangan kepada anggota Kongres yang menafikan keputusan pilihan raya presiden lalu.

Lebih 3,000 pekerja Microsoft menderma kepada PAC, dan pengumuman penggantungan itu katanya dibuat selepas menerima maklum balas mereka. – AFP, 6 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen