30% calon Bersatu PRU14 adalah anak muda, kata Syed Saddiq


Gan Pei Ling

Semua bukti menunjukkan pengundi gemarkan calon baru yang bersih dan akan mentadbir dengan integriti, kata Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mendedahkan separuh calon Bersatu pada PRU14 adalah muka baru dan 30% adalah anak muda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Disember, 2017.

LEBIH separuh daripada calon Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah orang baru dan sekurang-kurangnya 30% daripada mereka adalah anak muda bawah umur 35 tahun, kata Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Semua bukti menunjukkan pengundi gemarkan calon baru yang bersih dan akan mentadbir dengan integriti,” kata Syed Saddiq pada satu wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya baru-baru ini.

“Walaupun orang itu bukanlah ketua Pemuda negeri atau ahli majlis eksekutif tetapi hanya ahli biasa Pemuda, mereka akan tetap diberikan peluang,” katanya.

 Anak muda membentuk kira-kira 57% ahli Bersatu yang berjumlah lebih 200,000 orang. Parti itu kini berada dalam Pakatan Harapan (PH) bersama-sama PKR, DAP dan Amanah.

Langkah terbaru diambil Bersatu itu berlaku ketika kajian menunjukkan anak muda enggan mengundi kerana tidak percayakan ahli politik dan rasa tiada harapan dalam arena politik negara.

Ramai antara mereka juga masih belum membuat keputusan parti mana yang akan menerima undi mereka, malah proses pendaftaran pengundi mensasarkan anak muda juga berlaku dengan sangat perlahan.

Syed Saddiq berkata matlamat PH adalah untuk memuktamadkan senarai calon menjelang akhir Januari nanti, dan berharap menyempurnakan ruundingan pembahagian kerusi antara empat parti dalam gabungan pembangkang pada hujung tahun ini.

Setakat ini, lebih daripada 90% peruntukan kerusi sudah disiapkan, katanya lagi.

Bersatu dipimpin beberapa bekas pemimpin negara seperti bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad akan bergantung banyak kepada anak muda memandangkan lebih 50% jumlah ahlinya adalah anak muda bawah 35 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Disember, 2017.

“Saya diberitahu yang perkembangannya (pembahagian kerusi) sangat baik berbanding pilihan raya sebelum ini, apabila perbincangan masih berjalan walaupun selepas Parlimen dibubarkan,” katanya.

Ahli politik berusia 25 tahun dari Pulai, Johor itu enggan mendedahkan sekiranya beliau diminta parti untuk bertanding dalam PRU14 yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

Dalam wawancara itu, Syed Saddiq mendedahkan beberapa manifesto PH termasuklah menjadikan agensi penguatkuasa, media dan universiti sebagai institusi bebas.

Manifesto bersama itu akan dimuktamadkan pada Konvensyen Nasional PH bulan depan, katanya yang turut terlibat dalam pasukan merangka manifesto pembangkang itu.

“Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad sudah mengatakan yang pelajar akan diberikan kebebasan (untuk terlibat dalam politik) dan media tidak lagi akan dikongkong. Beliau mengatakan begitu dalam setiap ceramah.

“Kami juga bersetuju untuk menghadkan penggal perdana menteri dan dia (PM) juga tidak akan menjadi menteri kewangan.”

Katanya lagi, cadangan untuk membataskan kuasa Eksekutif bagi memerangi korupsi menerima sambutan baik rakyat.

PH mengeluarkan manifesto anti korupsi pada 31 Oktober, berikrar menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelantikan peguam negara bebas sepenuhnya.

Antara langkah yang dicadangkan termasuklah SPRM menjawab terus kepada Parlimen, memberikan kuasa pendakwaan dan mengalihkan bajet agensi pencegahan rasuah negara itu daripada diletakkan di bawah bajet Jabatan Perdana Menteri (PMO).

Antara manifesto bersama PH adalah membebaskan agensi penguatkausa, media dan universiti daripada cengkaman eksekutif, kata Syed Saddiq. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Disember, 2017.

Ia juga berjanji untuk menambah baik sistem pembiayaan politik, termasuklah memastikan derma dibayar kepada parti politik, bukannya individu.

Cadangan lain juga termasuklah menghadkan sumbangan penderma maksimum RM200,000 setiap tahun dan parti politik perlu menjalani proses audit setiap tahun.

Ia juga berikrar untuk menghapuskan rundingan terus untuk semua kontrak pembekalan kerajaan.

Syed Saddiq juga menambah yang beliau akan mendesak Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) ditambah baik atau digantikan bagi mengembalikan kebebasan akademik.

Tahun lepas, pendebat terbaik yang tiga kali menang Anugerah Pendebat Terbaik Kejohanan Debat Parlimen Britain peringkat Asia itu dilarang daripada menyampaikan ceramah di tiga buah universiti selepas menyertai Bersatu. – 29 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mahathir dilihat cuba mengubah semuanya apabila bersama parti barunya dan juga pakatan barunya. Sedangkan semua pembaharuan yang ingin dilakukan ini adalah peraturan yang beliau sendiri buat ketika beliau masih dalam BN. Persoalannya di sini, kenapa Mahathir tidak melakukan perubahan tersebut ketika masih menjadi PM dan dalam BN. Kenapa apabila sudah berpaling daripada kerajaan BN barulah mahukan perubahan yang beliau sendiri lakukan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan

    • Ada orang tidak dapat kesal sebab bagai digunung tidak nampak gunung. Tak apalah kesal lambat lebih baik daripada tidak kesal langsung.

      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

    • sesal*

      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

  • Semoga kamu semua bertemu dengan kemenangan besar. Sebab kita perlu radical change.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan