Mengenang Loloq: Lelaki seribu cerita


Zainal Rashid Ahmad

GENAP 13 tahun lelaki unik di meja teh yang suka berdebat untuk saling bersetuju ini pergi meninggalkan kita. (21 Mei, 1958 - 30 Januari, 2008)

Pada 1987, ketika berusia 29 tahun – Rosli Khamis memulakan jejak sebagai penulis lirik. Ketika belum popular, anak muda bermata bakup dan berkaca mata tebal ini antara kaki debat di meja kopi Restoran Hameed, Pasar Seni Kuala Lumpur.

Itu “nature” biasa bagi anak muda yang mahu tumbuh menjadi seniman pada dekad 80-an dan awal 90-an. Pada era ini, forum sastera dan pentas bicara yang formal dikuasa para pemikir, sarjana dan seniman elitis.

Anak muda yang datang dengan idea baharu dianggap sebagai pemikiran “kutu” hanya berforum di meja kopi.

Ini pilihan terbaik untuk berkembang dan mengejar cita-cita; kolaborasi dan berformasi serta saling bertukar idea dibiarkan berlaku di meja kopi.

Anak muda, tanpa nama tetapi muncul dengan filsuf seni yang rebel dan ambisi luar biasa, jarang diberikan ruang di pentas elit.

Pada era tanpa media sosial dan pemikiran media cetak dikawal oleh “establishment”, meja kopi satu-satunya pilihan yang ada sebagai forum terbuka untuk berdebat idea-idea aneh dan rebelious.

Antara yang paling rebel tentulah Loloq. Sebagai budak yang sukakan muzik. Pada masa sama, dunia pop menolak sebarang bentuk kompromi dengan lirik lagu yang aneh dan terlalu “advance”.

Seniman boleh ditindas, tetapi tidak mungkin dibunuh semangatnya.

“Aku heran kenapa orang masih anggap benda-benda pelik tak boleh ada dalam lirik sedangkan hidup ini beratus kali pelik dari yang boleh kita bayangkan,” katanya.

Saya berusia 20 tahun ketika Pasar Seni dibuka pada 1987 dan menjadi tempat anak muda pemburu kerjaya seni bertemu dan bersembang.

Kuala Lumpur kota seni dan anak-anak muda dari seluruh negara bertemu dan duduk berbincang soal idea baru. Sekali gus, mengatur langkah memulakan kerjaya.

Mengenali Loloq itu sendiri pun sudah dikira menepati kata-kata sendiri. Dia bergulat dengan idea aneh dan sukar diterima.

Loloq budak Singapura dan datang ke Kuala Lumpur dengan fikiran yang sangat jenuh dengan keriuhan mahukan pembaharuan.

Pada era itu, lirik lagu masih kekal puitis, skema, populis dan tidak terbeban dengan budaya berfikir.

Malah, lagu-lagu rock kapak pun hanya keras pada muziknya. Lirik lagu masih kekal dengan royanan cinta.

“Hang Tuah boleh bercakap 10 bahasa dan itu 500 tahun lalu. Kita celik dua bahasa saja dan berlagak benar dengan sastera Inggeris,” katanya selalu.

Itu hujah pertama apabila lirik yang mengangkat tema berat dan kata-kata klasik teks Melayu dianggap bombastik.

Sebagai “ulat buku”, Loloq terdedah pada tema berat dan bahasa yang sangat sastera. Malah, idea terlalu dipengaruhi opsyen rebel John Lennon dan Jim Morrison.

Loloq lebih sukar menembusi dunia muzik pop dengan lirik-liriknya yang tidak cenderung pada nahu cinta.

Siapa Loloq? Namanya Rosli Khamis.

Sebut saja Loloq orang tahu itu nama legenda penulis lirik Malaysia.

Budak asal Singapura ini menjadi “game changer” dalam industri muzik tempatan apabila bergabung dengan M. Nasir di Luncai Emas.

Loloq selama hayat kerjaya seninya  (1990-2008) menulis lebih 500 lirik dan “killer” di sebalik lagu-lagu hebat M. Nasir.

Dia juga tukang naratif yang mengisi penceritaan aneh melalui lagu-lagu artis terkenal termasuk Ella, Search, Wing, Spider dan Hattan.

Paling hebat, hampir semua album dan lagu meletup M. Nasir, liriknya ditulis Loloq.

Budak mata bakup yang pernah mengisi zaman debat meja kopi di Pasar Budaya, kekal terkenal sebagai anak muda yang “hyper” dalam perbualan.

Sampai akhir hayatnya, Loloq selalu provakatif dan debatnya menyiksa otak dan fikiran kawan-kawan.

Kalau berbual, pandangan yang dikemukakannya selalu aneh, liar dan enggan berpijak pada titik yang terlalu pasti.

Loloq pengagum teks klasik Sejarah Melayu dan pada masa yang sama mengakui sumbangan John Lennon sebagai tokoh pemoden penting dalam eskpresi seni muzik kontemporari.

Dia taasub pada bakat Hang Tuah yang mahir 10 bahasa, tetapi mengaku idea Karl Marx mengenai ekonomi sosialis sangat relevan bagi negara yang buta hak asasi.

Loloq pada dekad awal kerjaya

Pada 1987 hingga 2004, selepas  melepak di Pasar Seni, saya selalu  menemaninya berjalan kaki menuju Hentian Puduraya. Sepanjang jalan, Loloq masih berhujah mengenai Marxisme.

“Bukan semua ideologi komunis jahat. Kau tengok nasib orang jalanan ini, nasib kaum marhaen inilah yang membuat Marxist jadi simpatisan sosial,” katanya.

Saya tidak ingat tarikh perjalanan itu. Cuma, sampai ke awal 2000-an ketika kami masih kerap bertemu, walaupun masing-masing sudah sibuk bekerja, saya akan menemaninya berjalan kaki ke Hentian Puduraya.

Uniknya Loloq ini, ketika sudah berduit dan glamor pun, bas di Puduraya masih menjadi kenderaan utama untuk berulang-alik dari KL ke rumahnya di Sungai Buluh.

Barangkali kerana kami sama-sama membenarkan beberapa idea sosialis, dia menumpukan perbualan pada tema tersebut.

Apa lagi ketika menyusur jalan ke Hentian Puduraya. Kami akan melihat imej tukang kasut, penjaja makanan, pengemis dan gelandangan di sepanjang laluan.

Kami bertukar jalan antara merentasi Hentian Bas Kelang, atau Komplek Kotaraya, atau Jalan Petaling.

“Aku kena cepat. Bas terakhir 11 malam,” katanya.

Melihat hidup, buku dan kamus

Selain minatnya pada buku sejarah serta kecintaan pada teks klasik, Loloq sentiasa berpegang pada prinsip: tiap lirik mesti ada pembaharuan.

Dia suka provokasi dan gemar berdebat. Sentiasa bersikap setuju untuk tidak bersetuju dengan banyak pendapat.

Loloq percaya: berkongsi sudut pandangan kehidupan ialah buku terbaik. Manakala, buku bacaan pula sebagai alat meluaskan lagi seni naratif mengenai kehidupan.

Bukan aneh kalau Loloq menggemari Jalaluddin Rumi, Leo Tolstoy dan Buya Hamka. Bukan aneh juga kalau dia suka sejarah Roman Greek dan empayar Islam Andalusia.

Dia gemar bicara soal Rabindranath Tagore, Hamzah Fansuri dan Raja Ali Haji. Malah, dia gemar pada semua teks tiga penulis religus ini.

Narator lirik seribu cerita

Loloq hidup dalam seribu cerita. Keberaniannya bergaul menjadikan dirinya sentiasa tekad dan nekad mencuba banyak perkara.

Loloq juga pelopor yang memulakan kumpulan penterjemah drama asing pada 1996.

Loloq mencuba semua medium dengan pembaharuan dan sebagai peluang meluaskan pergaulan. Dia menulis skrip filem Merah pada 1997.

Loloq turut berlakon sebagai peluang menjadi cepat celik dalam bidang perfileman yang juga antara minat utamanya.

Dia berlakon filem Sara (2001), Embun (2002), Lang Buana (2003), Man Laksa (2006) dan Zombi Kampung Pisang (2007).

Loloq merentas multi pergaulan kerana mahu membeli pengalaman. Dia bergaul dengan sesiapa saja dan menjadikan dirinya kaya dengan kawan-kawan di mana saja.

Dunianya bukan selingkar pergaulan dengan artis “famous” seperti M. Nasir, Search, Wing, Spider, Ella dan Hattan.

Loloq punya ramai kawan di Pasar Seni dan warung mamak Selangor Mansion.

Dia mesra dan prihatin melihat manusia marginal di Hentian Bas Klang, Hentian Puduraya, Kompleks Kotaraya dan pusaran Jalan Petaling.

Loloq melihat naratif seni sebagai subjek yang real dan diperluaskan lagi dengan kegilaan membaca yang tidak dibina dengan batas dan sempadan.

Loloq mengumpulkan ribuan buku merentas bacaan sastera, agama, ekonomi, pengurusan, politik, falsafah, perfileman, muzik dan majalah hiburan.

Walaupun suka bertekak dan sangat provokatif, dia akan ketawa besar apabila ideanya disanggah dengan munasabah.

Dia “hyper” dan sentiasa obses untuk selalu merentas pergaulan dalam hidup. Tiada manusia yang diabaikan dan tidak digaulinya.

Watak-watak real dalam hidup dan idea jelmaan hasil pembacaan, memberikan kekayaan luar biasa dalam caravan karyanya.

Koleksi liriknya jadi bukti. Lihat pengembaraan rebelnya dalam lirik Kau Bukan Brader dan Awang Trasher (Wings).

Kelembutannya dalam Nur Nilam Sari (Awie & Search), Di Ambang Wati (Wings), Asli Dan Tulus (Search), Laila Namamu Teratas (Search) dan Ratu Sanubari (Saleem).

Rebelnya berulang lagi dalam Neo Romantik (Search), Zen-Bikin Wilayah (Search), Gemuruh (Search & Wings) dan Melastik ke Bintang (Search).

Dia tradisionalis dalam Mantera Semerah Padi (M . Nasir), Kias Fansuri (M. Nasir), Langgam Wak Dogol (M. Nasir) dan Tanya Sama Itu Hud Hud (M. Nasir).

Luasnya pergaualan Loloq ketara dalam dalam lirik Kita Peng-Yu (XPDC), Tak Nak Jadi Soh Chai (Spider), Laukku Cukup Masin (Spider), Kasih Latifah (Spider), Cinta Dewa-Dewi (Spider), Aladin (Spider), Kacap Terlabik (Spider) dan Cinta Tak Keruan (Amigos).

Tiga lirik terbaiknya pada saya ialah:

Raikan Cinta

“Berapa dalam harus kugali tanah ini, harus kugali

Untuk bertemu permata nilai sejati, nilai sejati

Baru kupulang ke kampung sentosaku

Baru tercapai segala maksudku

Perahuku menghala ke hulu kuala jua kusua, jua kusua

Kau lihat aku, aku pula lihat dia samakah kita

Ke sana ke sini lari-lari kecil

Bagai Siti Hajar mencari air

Terpancur sinar di kering pasir

Bekas hentakan kudus kaki Ismail”

(Petikan lirik Raikan Cinta 2001)

 

Walaupun dia tidak nasionalis dalam banyak perkara kerana sifatnya yang humanis dan pro sosialis, Loloq kekal kaya dalam naratif Melayunya.

 

Mantera Semerah Padi

“Hei! kersani mengalir lah dikau

Menjadi raksa

Mengisi belikat punggungku

Agar aku bisa berdiri

Tegap dan segak

Bagaikan laksmana Melayu

Hei! sepuluh helai daun sirih

Ku gentas bersama

Bunga cengkih jadilah dikau

Darah merah pekat mengisi uratku

Agar bisa ku berlangkah

Gagah dan tampan

Bagaikan si jantan yang berkokok”

(Petikan lirik Mantera Semerah Padi 1993)

 

Sebagai pencari hidup yang galau 1987-2000, Loloq mula dipengaruhi nilai Islami yang menjadi pegangannya sejak tahun 2001.

Loloq menulis Kias Fansuri.

“Jangan sesekali kau ceritakan

Pengalamanmu Yusuf

Takut-takut mengundang bencana

Siapa tahu

Betapa berat cinta yang ditanggung

Sehingga dia sanggup lakukan

Biar apa saja demi mendapatkan

Restu sultan cahaya hatinya

Tak sia-sia azam Zulaikha

Bisa jadi cermin mengintai jiwa

Tak sia-sia mimpi Zulaikha

Bisa jadi lorong insan bercinta”

(Petikan lirik Kias Fansuri 2001)

 

Sebagai bonus, saya lebih meminati lagu Langgam Pak Dogo, liriknya yang kurang popular.

“Rindu menikam dek cinta Sita

Hilang bekas hilang sisa amarah

Bongkar akar bongkar mimpi Suralaya

Datang bingung berpaulan di ambang yuda

Ajak menung bawah panji wilmana

Apa hikmah tersemat di balik perintah!

Temu hulu hilir menyusur

Adat hidup temukan mati

Jangan tuan terus masygul (duk nengu sugul)

Adat wira harus tahan uji”

(Petikan lirik Langgam Pak Dogo (2001))

 

Pergi sudah sahabat tercinta

Pada saya hanya ada tiga penulis lirik terhebat. Bob Dylan di Amerika Syarikat dan Iwan Fals di Indonesia.

Dua nama ini masih hidup dan kekal berjuang sebagai seniman naratif sosial yang berpengaruh dalam muzik moden.

Seorang lagi ialah Loloq. Dia sudah tiada tetapi karyanya terus membugar dalam rak muzik dan lirik Malaysia. – 31 Januari, 2021.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen