BN tak boleh ambil ringan skandal tanah Felda, kata penganalisis


Ikhwan Zulkaflee

Tanah Felda di Jalan Semarak yang menimbulkan kontroversi. Penganalisis berkata BN tidak boleh memandang ringan isu ini kerana warga Felda merupakan pengundi penting kepada parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.

BARISAN Nasional (BN) digesa agar tidak memandang ringan kontroversi terkini dihadapi Felda ketika mandat yang diterima parti itu dalam pilihanraya umum 2013 lalu semakin hampir ke penghujungnya.

Para penganalisis memberi amaran, isu berkenaan mungkin menyebabkan warga Felda – yang selama ini merupakan antara penyokong kuat BN – akan mengalih sokongan kepada pembangkang.

Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, Prof James Chin berkata, terdapat petunjuk bahawa kawasan pilihan raya dalam kawasan tanah rancangan ini tidak lagi boleh dianggap lagi kerusi selamat untuk BN.

“Buat masa ini, mustahil bagi sesiapapun untuk menjangka bagaimana peneroka Felda ini akan mengundi.

“Tetapi terdapat petanda bahawa jika Umno memenangi kerusi Felda, ia akan menang dengan majoriti kecil,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, generasi baharu Felda yang berpendidikan mungkin sudah bersedia membuat perubahan, dan isu kontroversi melibatkan agensi itu pula tiba di “saat paling buruk” bagi Umno.

Chin berkata, keadaan ini akan memberi peluang cerah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di bawah pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk meraih kerusi di dalam kawasan rancangan ini.

“Tugas utama Bersatu kini ialah mensasarkan gerak kerja mereka di kerusi Parlimen yang terdapat rancangan Felda, yang membentuk hampir separuh dari kira-kira 120 kerusi majoriti Melayu dalam negara,” kata James kepada The Malaysian Insight.

Skim Felda ini merentasi 54 dari 222 kawasan Parlimen dalam negara dan pengundi Felda membentuk 5% dari keseluruhan jumlah pengundi seluruh negara. 

James juga yakin bahawa Pakatan Harapan (PH) berpotensi untuk menafikan sasaran BN meraih semula majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sekali gus menambah kekuatan blok pembangkang.

“Yang paling penting, jika kerusi ini jatuh ke tangan pembangkang ia menunjukkan pengundi luar bandar lebih memilih (bekas perdana menteri Dr) Mahathir (Mohamad) berbanding (Perdana Menteri) Najib (Razak),” katanya lagi.

Katanya, warga tanah rancangan ini prihatin terhadap isu yang melanda agensi tersebut, seperti skandal pemindahan hak milik tanah Felda dianggarkan bernilai RM270 juta di lokasi strategik Kuala Lumpur. 

Sementara itu, penganalisis politik Dr Azmi Hassan pula berkata, kerajaan harus menangani isu kritikal melibatkan agensi ini dengan telus “kerana undi dari gugusan Felda adalam lumayan bagi BN”.

Pengkaji geopolitik di sebuah universiti awam itu melihat pihak pengurusan Felda dan pengerusinya Shahrir Abdul Samad komited dalam menyelesaikan kontroversi melibatkan agensi tersebut dengan adil dan telus.  

Beliau juga berpendapat, kes terbaru melibatkan tanah premium milik Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu juga merupakan salah laku individu dan tidak seharusnya dikaitkan dengan parti pemerintah.

“Setakat ini jika (isu ini) hendak digelar skandal, rakyat menilai dengan hati terbuka dan masih belum buat kesimpulan kerana pihak yang cuai belum lagi dikenali. 

“Apabila pihak bertanggungjawab dikenal pasti maka dari situ boleh dinilai sama ada kesan negatif atau positif kepada BN menjelang pilihan raya,” katanya.

Untuk mengekalkan kepercayaan warga peneroka ini, siasatan perlu menunjukkan bahawa pemimpin Umno tidak terlibat dengan kes tersebut, katanya.

“Penting dibuktikan pihak bertanggungjawab melakukannya tanpa pengetahuan kepimpinan tertinggi Umno. 

“Tapi jika diteliti fakta yang diketahui setakat ini, individu yang terlibat adalah tidak ramai dan lakukan tanpa pengetahuan pihak atasan Felda,” jelasnya.

Turut mengulas mengenai siasatan tersebut, pengkaji Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Azizuddin Mohd Sani berkata ia perlu diperhalusi untuk mengenalpasti punca sebenar kontroversi pertukaran hak milik tanah yang merugikan agensi tersebut.

“Pengerusinya Shahrir juga kena jalankan tanggungjawab untuk dapatkan penjelasan penuh dari FIC (Felda Investment Corporation Sdn Bhd) apakah langkah yang sedang dan akan diambil menangani isu ini,” katanya.

Umno pula menganggap, isu terbaharu melibatkan Felda ini tidak menjejaskan kewibawaan BN tidak akan menjejaskan persiapannya menghadapi PRU14.

Salah seorang menterinya, Shahidan Kassim semalam menyebut, masalah seperti yang dialami Felda itu pastinya akan dapat diselesaikan dengan baik oleh kerajaan.

“Semua masalah juga kita tangani dengan baik dan kita mengambil pendekatan kasih sayang, bukan caci mencaci dan fitnah memfitnah,” kata menteri di jabatan perdana menteri itu, seperti dipetik Bernama.

Khamis lalu, pengerusi Felda, Shahrir Samad mengesahkan berlaku penyelewengan dalam penukaran hak milik tanah itu dan agensi tersebut menjalankan usaha untuk memperolehinya semula.

Pemindahan hak milik itu dilakukan oleh sebuah syarikat yang diberi kuasa sebagai wakil Felda iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd, yang menjual sendiri tanah itu kepada syarikat dikuasai firma berkenaan.

Synergy Promenade Sdn Bhd dilantik oleh FIC pada Jun 2014, dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) untuk projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang turut melibatkan rancangan mendirikan menara ikonik Felda.

Pemindahan hak milik tanah tersebut pada 2015 melibatkan empat perjanjian jual beli yang setiap satunya berjumlah RM54.5 juta, RM96.9 juta, RM12 juta dan RM106.4 juta.

Felda dan FIC ketika itu dipengerusikan oleh veteran Umno, Isa Abdul Samad. – 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen