Perkeso siasat kegiatan palsukan dokumen tuntutan faedah


Perkeso mendapat terdapat kes pemalsuan dokumen bagi tujuan tuntutan faedah melibatkan seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Pulau Pinang pada 25 Januari lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2021.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti kewujudan sebarang kegiatan pemalsuan dokumen rekod pesakit bagi tujuan tuntutan faedah.

Ketua Eksekutif Perkeso Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata ia susulan kes pemalsuan dokumen bagi tujuan tuntutan faedah melibatkan seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Pulau Pinang pada 25 Januari lepas. 

“Sekiranya terdapat penemuan berkaitan, Perkeso akan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas mengenai kes melibatkan pegawai perubatan tersebut, Mohammed Azman berkata  pihaknya sedang bekerjasama dengan polis untuk mengenal pasti dokumen yang terlibat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata berdasarkan beberapa dokumen yang telah dikemukakan untuk pengesahan, Perkeso mendapati dokumen tersebut telah diproses untuk pembayaran tuntutan faedah dan hasil siasatan awal  mendapati sekurang-kurangnya 16 kes dapat dikaitkan dengan pegawai perubatan tersebut.

“Memandangkan pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap kes ini, sebarang kenyataan lanjut hanya akan dimaklumkan setelah siasatan selesai,” katanya. – Bernama, 27 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen