Fahami gelandangan dan beri perhatian lebih 


PANDEMIK telah mendedahkan kita kepada pelbagai situasi yang tidak pernah dijangka akan berlaku.

Makin ramai yang kehilangan pekerjaan, mengalami kekurangan dalam pendapatan dan kesihatan mental kerana persekitaran yang tertekan. 

Ramai juga yang telah hilang tempat tinggal atau dipanggil gelandangan. Oleh itu, tindakan yang sewajarnya harus diambil kerana perhatian yang diberikan kepada kumpulan ini masih tidak mencukupi walaupun gelandangan masih wujud.

Untuk situasi di Malaysia, kajian lepas menyatakan bahawa terdapat tiga definisi yang sesuai untuk gelandangan:

1) kumpulan terpinggir,

2) ketidakmampuan untuk mengakses perumahan yang menyebabkan mereka tiada tempat tinggal atau mungkin kehilangan tempat tinggal dan

3) berkaitan dengan perancangan dan reka bentuk rumah yang teruk atau tidak baik untuk golongan miskin dan miskin tegar.

Hal-hal yang berkaitan dengan gelandangan di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di mana terdapat tiga pertubuhan kebajikan yang terlibat iaitu Desa Bina Diri (DBD) untuk gelandangan yang berusia 18 tahun hingga 59 tahun, Rumah Ehsan dan Rumah Seri Kenangan untuk warga tua berumur 60 tahun ke atas yang sakit dan ditinggalkan tanpa waris. 

Di Kuala Lumpur sahaja, sudah ada banyak kumpulan gelandangan yang tinggal di jalanan dan bergantung pada kebaikan orang ramai untuk bertahan dan mengalas perut setiap hari.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Februari tahun 2016, jumlah gelandangan di Kuala Lumpur yang terkini berjumlah sekitar 1,500-2,000, peningkatan yang tinggi daripada 600 pada tahun 2014.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan orang kehilangan tempat tinggal.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2010, tiga faktor utama yang membawa kepada keadaan ini adalah pengangguran, kemiskinan dan pendapatan yang rendah, dan warga tua tanpa ahli keluarga.

Kajian lain pada tahun 2014 menunjukkan bahawa faktor utama yang menyebabkan gelandangan adalah pengangguran, bebanan hutang dan penyakit kronik.

Faktor lain termasuk keganasan rumah tangga, ketagihan, kemurungan, trauma peribadi, diskriminasi, dan kekurangan perumahan atau pengangkutan kos rendah.

Namun, persepsi orang ramai terhadap kumpulan gelandangan ini selalunya negatif – mereka ini penagih atau mereka malas untuk mencari pekerjaan.

Tetapi tidak semuanya seperti itu. Sebahagian daripada mereka mungkin tidak ada pilihan selain harus meminta belas ihsan orang lain untuk mengekalkan kehidupan.

Kajian lepas juga mendedahkan bahawa tiada penyelidikan yang meluas tentang gelandangan di Kuala Lumpur atau di Malaysia secara keseluruhan. Oleh kerana sebab ini, tidak ada dasar atau garis panduan mengenai gelandangan.

Kajian juga menunjukkan bahawa masalah sering timbul dalam menangani gelandangan disebabkan oleh pemahaman yang berbeza dalam kalangan pihak berkuasa terhadap definisi gelandangan itu sendiri. 

Hal ini menyebabkan subjek gelandangan ini dipandang kompleks dan menyebabkan statistik yang dikumpul tidak tepat.  

KPWKM dan DBD mengkategorikan gelandangan sebagai orang papa dan menurut Akta Orang-Orang Papa 1977, ia bermaksud:

  1. Seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam dengan sebegitu cara hingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang yang lazim mengunjungi tempat itu atau hingga menimbulkan gangguan; atau
  2. Seseorang peleser yang dijumpai di tempat awam, sama ada atau tidak dia mengemis, yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan.

Namun, JKM pula mendefinisikan gelandangan sebagai “pembuat masalah”.

Oleh itu, kementerian dan organisasi yang terlibat perlu menetapkan definisi yang jelas untuk gelandangan bagi mengelakkan penggubalan dasar yang tidak cekap ataupun kenyataan yang tidak mencerminkan realiti sebenar tentang gelandangan.

Ketepatan statistik juga dapat membantu dalam memastikan kecukupan dari segi bilangan tempat tinggal dan rumah kerajaan yang disediakan untuk gelandangan.

Pada bulan April tahun lepas, lebih kurang 800 orang gelandangan di Kuala Lumpur telah ditempatkan di pusat gelandangan sementara semasa PKP 1.0 dalam usaha membendung jangkitan Covid-19 yang merisaukan. 

Memandangkan PKP 2.0 telah dikuatkuasakan dan dilanjutkan kerana bilangan kes Covid-19 yang masih tinggi, tindakan yang sama perlu diambil untuk membantu kumpulan ini kerana masih ramai orang yang berada di jalanan dan sebagai langkah pencegahan untuk mengatasi jangkitan wabak. 

Selain itu, usaha untuk membantu kumpulan gelandangan juga perlu menjadi tanggungjawab bersama di antara kerajaan, agensi pelaksana kebajikan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam secara keseluruhan.

Realitinya, kita dapat lihat bahawa semakin banyak NGO yang turun padang untuk memberi bantuan kepada gelandangan (soup kitchen) terutamanya sejak pandemik melanda. 

Bantuan disalurkan melalui pengagihan keperluan harian seperti makanan, potongan rambut percuma, bantuan perubatan, perkhidmatan undang-undang serta kaunseling.

Jadi, terdapat keperluan penting untuk terus mengalu-alukan penyertaan aktif dan maklum balas daripada pihak NGO yang lebih berpengalaman dengan kumpulan gelandangan bagi meningkatkan kesedaran umum tentang perkara ini. 

Dengan cara ini, penggubalan dasar atau bantuan boleh disesuaikan dengan mereka yang benar-benar memerlukan pertolongan.

Jenis pertolongan yang mereka perlukan boleh dikenalpasti dengan lebih cekap kerana setiap orang mempunyai kisah mereka yang tersendiri.

Persepsi bahawa kumpulan gelandangan adalah “pembawa masalah” atau “bantuan hanya akan mendorong mereka untuk tetap menganggur dan kekal sebagai gelandangan” atau kurang siuman harus diubah dan tidak seharusnya menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat.

Isu utama lain yang dihadapi oleh gelandangan seperti gaji rendah, pengangguran dan kekurangan perumahan kos rendah juga perlu diberi perhatian.

Mereka seharusnya diberikan sekurang-kurangnya gaji minimum, pekerjaan yang stabil dan skim perlindungan rumah juga boleh dipertimbangkan.

Akhir sekali, sebuah Kumpulan Kerja Menteri (Ministerial Working Group) perlu ditubuhkan dengan melibatkan kementerian yang berkaitan seperti KPWKM, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementeri Wilayah Persekutuan.

Ini harus dilengkapi dengan perundingan daripada pihak berkepentingan seperti golongan gelandangan dan NGO.

Sebagai contoh, di United Kingdom, terdapat satu Kumpulan Kerja Menteri untuk menangani dan mencegah peningkatan gelandangan dengan menerbitkan laporan dan kertas dasar secara berkala.

Isu gelandangan mungkin tampak sebagai sesuatu perkara yang rumit untuk diselesaikan.

Namun, jika tiada usaha atau sifat empati untuk menangani hal ini, lebih ramai yang akan kekal susah dan menderita. – 25 Januari, 2021.

* Sofea Azahar merupakan Penganalisis Penyelidik di EMIR Research.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen