Setahun berdepan Covid-19 


Ragananthini Vethasalam

Petugas barisan hadapan kesihatan masih lagi bergelut dalam menangani wabak Covid-19 yang entah bila akan berakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2021.

SETAHUN lalu pada tarikh ini (24 Januari), Malaysia melaporkan beberapa kes pertama Covid-19, kesemua mereka adalah kes import.

Selepas 12 bulan, negara merekodkan lebih 175,000 kes jangkitan yang mana penularan tempatan melebihi kes import.

Angka kematian akibat koronavirus, kebanyakannya melibatkan warga emas yang mempunyai sejarah penyakit kronik, kini 667. Mangsa paling muda adalah bayi perempuan berumur setahun.

Selepas berjaya meratakan lengkung susulan gelombang kedua pandemik tahun lalu, Malaysia kini berdepan gelombang ketika dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua manakala jumlah kes jangkitan baharu melebihi 3,000 kes setiap hari.

Sempadan negara masih ditutup kepada pelancong dan negara turut berada dalam perintah darurat sehingga 1 Ogos bagi membolehkan kerjasama daripada kemudahan kesihatan swasta dalam mengekang virus menggunakan perintah darurat.

Namun persidangan Parlimen dan juga pilihan raya turut digantung ketika tempoh darurat - yang menyebabkan kerajaan menerima kritikan.

Dalam masa hanya lebih setahun sejak virus itu mula muncul di Wuhan, China, lebih 96 juta orang telah dijangkiti dan lebih dua juta lagi maut.

Ketika vaksin mula diedarkan selepas tempoh percubaan dan ujian yang singkat berbanding biasa, serta kelulusan kecemasan oleh kerajaan, para saintis masih belum dapat mengesan punca sebenar virus berkenaan.

Wabak seperti radang paru-paru itu dikatakan berpunca dari sebuah pasar basah di Wuhan yang menjual haiwan eksotik. Namun sama ada virus itu bermula dari dalam atau luar sempadan China, haiwan mana yang menjadi vektor dan bagaimana virus berkenaan menjangkiti manusia, masih belum diketahui.

Ketika “wabak virus misteri” itu mula dilaporkan pada November dan Disember di Wuhan, kes kematian pertama direkodkan pada 9 Januari.

The Malaysian Insight mengimbas kembali detik permulaan pandemik di Malaysia tahun lalu. 

2020

24 Januari

Tiga kes pertama wabak yang dikenali sebagai novel koronavirus disahkan di Malaysia. Hari berikutnya mendedahkan tiga mangsa berkenaan adalah warga China berasal dari Wuhan yang memasuki negara dari Singapura menerusi Johor Bahru. 

Mereka merupakan saudara rapat kepada warga China berusia 66 tahun yang menjadi kes pertama disahkan di Singapura.

Ketiga mereka adalah isteri kepada lelaki terbabit yang berusia 65 tahun serta cucu mereka berusia 11 dan 2 tahun. Kesemua mereka dirawat di Hospital Sungai Buloh.

26 Januari

Kerajaan mengadakan mesyuarat pertama berhubung koronavirus melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa kesihatan, polis dan imigresen, juga menteri atau timbalan menteri Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Pelancongan. 

27 Januari 

Malaysia memutuskan untuk menyekat sementara kemasukan warga China dari wilayah Hubei, yang merupakan ibu negeri Wuhan daripada memasuki Malaysia. 

3 Februari

Malaysia menghantar misi menyelamat untuk membawa pulang warga Malaysia di Wuhan. 

4 Februari

Malaysia melaporkan satu lagi kes import membabitkan warganegara berusia 41 tahun dari Selangor yang disahkan positif selepas melakukan perjalanan enam hari ke Singapura bermula 16 Januari hingga 22 Januari. 

6 Februari

Malaysia melaporkan kes penularan tempatan pertama selepas kakak kepada kes yang direkodkan pada 4 Februari turut disahkan positif. 

7 Februari 

Sekatan perjalanan dilanjutkan melibatkan wilayah China yang dikenakan perintah berkurung. Pada tarikh ini, 14 kes novel koronavirus dikesan di Malaysia yang mana empat adalah warga tempatan. – 24 Januari, 2021.


Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen