Biden akan kaji semula rundingan AS-Taliban


Washington ingin meneliti sama ada Taliban menepati komitmennya untuk memutuskan hubungan dengan kumpulan pengganas, selain mengurangkan keganasan di Afghanistan. – Gambar EPA, 23 Januari, 2021.

PENTADBIRAN Joe Biden pada hari Jumaat berkata akan mengkaji semula dasar rundingan Amerika Syarikat dengan kumpulan Taliban.

Kajian semula itu akan memberi tumpuan berhubung tindak-tanduk kumpulan militan itu di Afghanistan ketika ini, sama ada mereka patuh dengan perjanjian rundingan atau tidak.

Washington membuat perjanjian dengan Taliban dalam siri rundingan di Qatar tahun lalu. Dalam perjanjian itu, Amerika setuju untuk mengundurkan tenteranya dengan jaminan keselamatan dan komitmen Taliban untuk memulakan rundingan damai dengan kerajaan Afghanistan.

Namun keganasan di Afghanistan terus meningkat walaupun kedua-dua pihak terlibat dalam rundingan tersebut sejak September.

Penasihat keselamatan nasional Presiden Joe Biden yang baru dilantik, Jake Sullivan, telah berhubung dengan rakan sejawatnya dari Afghanistan, Hamdullah Mohib dan “menjelaskan niat Amerika Syarikat untuk mengkaji semula” perjanjian itu, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Emily Horne.

Washington ingin meneliti sama ada Taliban “menepati komitmennya untuk memutuskan hubungan dengan kumpulan pengganas, selain mengurangkan keganasan di Afghanistan.”

Sullivan turut berkata “AS menekankan bahawa ia akan mendukung proses perdamaian dengan usaha diplomatik serantau, bertujuan untuk membantu kedua-dua pihak mencapai penyelesaian politik dan gencatan senjata.”

Langkah itu disambut baik pihak berkuasa di Kabul selepas beberapa bulan spekulasi mengenai bagaimana pentadbiran baharu AS boleh menyusun semula dasarnya di Afghanistan. – 23 Januari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen