Paksa pensyarah letak jawatan langgar kebebasan akademik, kata ahli Parlimen


Kebebasan akademik terutamanya di peringkat pengajian tinggi penting untuk mendedahkan pelajar kepada senario politik Malaysia, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2021.

ARAHAN kepada seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) supaya meletak jawatan kerana membenarkan lawatan sekumpulan pelajar ke ibu pejabat DAP bertentangan dengan kebebasan akademik, kata Lim Lip Eng.

Ahli Parlimen Kepong itu berkata kebebasan akademik terutamanya di peringkat pengajian tinggi penting untuk mendedahkan pelajar kepada senario politik Malaysia.

“Timbul khabar angin bahawa seorang pensyarah UiTM yang diarah meletak jawatan kerana membawa pelajarnya mengunjungi ibu pejabat DAP pada 2019.

“Tindakan ini amat dikesali kerana ia melanggar kebebasan akademik yang seharusnya ada di institusi pengajian tinggi.

“Kebebasan akademik mesti diperjuangkan untuk mengembang pemikiran pelajar di samping memberi pendedahan kepada politik di Malaysia.

“Tindakan memaksa pensyarah tersebut meletak jawatan kerana lawatan ke pejabat parti politik pembangkang hanya menunjukkan bahawa institusi berkenaan masih berpegang kepada fahaman lama dan tidak boleh menerima perbezaan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Portal Malaysiakini melaporkan pensyarah berkenaan, Che Hamdan Che Mohd Razali didakwa “dipaksa” meletak jawatan sebagai penolong rektor UiTM Raub pada 28 Disember lalu. 

Salah seorang pelajar Che Hamdan mempertahankan pensyarah itu, berkata lawatan tersebut adalah sebahagian daripada silibus subjek berkenaan politik Malaysia. Malah, ibu pejabat DAP adalah pilihan pelajar sendiri, katanya.

Dalam pada itu Lim mempersoalkan adakah UiTM akan mengambil tindakan serupa jika kumpulan pelajar itu melawat ibu pejabat MCA.

Tambah beliau, DAP alah sebuah parti politik yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), ditubuhkan 55 tahun yang lalu.

“DAP adalah parti politik yang diluluskan dan dibenarkan menjalankan aktiviti politik mengikut garis panduan RoS.

“Wakil-wakil parti juga pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kebanyakan daripada mereka pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan.

“Persoalan yang harus dibangkitkan ialah adakah universiti akan mengambil tindakan sama jika pelajar dibenarkan melawat ibu pejabat MCA, parti politik yang 100%  ahlinya Cina.

“Semoga pensyarah berkenaan tidak dikenakan tindakan dan bersama-samalah kita mengukuhkan kebebasan akademik di Malaysia,” kata Lim. – 23 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen