Saravanan lebih utama kaum, kata kesatuan pekerja


Nube mendakwa Menteri Sumber Manusia M Saravanan sering berdiam diri jika terdapat isu melibatkan pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2021.

MENTERI Sumber Manusia M Saravanan perlu turut menyuarakan isu melibatkan pekerja sama seperti beliau membangkitkan masalah dihadapi kaum India, kata Kesatuan Pekerja Bank Nasional (Nube) hari ini.

Setiausaha Agung Nube, J Solomon berkata menteri itu sering berdiam diri dalam isu melibatkan pekerja yang dibangkitkan berulang kali oleh kesatuan itu.

Solomon berkata, Saravanan bagaimanapun pantas bersuara mengenai isu melibatkan kaum India, dengan yang terbaru adalah isu cuti umum Thaipusam di Kedah.

“Beliau pantas menyerang menteri besar Kedah kerana tidak mewartakan cuti untuk perayaan itu.

“Saravanan juga menuduhnya angkuh kerana tidak berunding dengan MIC sebelum membuat keputusan.

“Walaupun beliau memiliki lokus standi memperjuangkan isu ini sebagai timbalan presiden MIC, alasannya bahawa parti akan menerima kesan pada pilihan raya akan datang adalah satu hal - hanya hal politik yang penting bagi menteri ini. Ia sungguh mengejutkan,” kata Solomon dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, Nube sudah membuat rayuan kepada Saravanan sejak 12 November 2020 agar menghentikan penyumberluaran kerja dan kegiatan anti-kesatuan bank antarabangsa yang mengakibatkan pekerja berpendapatan rendah terjejas.

“Malah, kami sudah menghantar beberapa peringatan. Malangnya, beliau tetap membisu mengenainya dan enggan memberi respons terhadap Nube serta tidak melaksanakan bidang kuasa yang ada dalam Perjanjian Kolektif untuk menghentikan penyalahgunaan bank itu.”

Ahli kesatuan itu berkata Saravanan juga tidak mengendahkan surat daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 16 Disember 2020 untuk bertindak berhubung aduan tersebut.

“Kami juga mengingatkannya mengenai arahan perdana menteri. Tetapi Saravanan menolak untuk menjawab Nube hingga sekarang. Kami tidak memintanya membantu kami, hanya laksanakan tugas fidusiari.”

Solomon berkata kegagalan Saravanan bertindak untuk menyokong pekerja boleh mengakibatkan mereka “membenci kerajaan yang memerintah”.

“Hipokrasi dan keangkuhan Saravanan tidak akan membantu kerajaan dalam pilihan raya akan datang jika beliau terus melayan pekerja secara selektif dengan menunjukkan keangkuhannya.”

Beberapa hari lalu, Saravanan mengkritik kerajaan Kedah kerana membatalkan cuti umum khasnya untuk Thaipusam yang jatuh pada 28 Januari.

Negeri yang diperintah PAS itu memutuskan tidak memberi cuti umum kerana pada masa ini negeri berada di bawah perintah kawalan pergerakan. – 22 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen