Hamid Sultan gagal cabar Jawatankuasa Etika Hakim


Hakim Mahkamah Rayuan Dr Hamid Sultan Abu Backer hari ini gagal dalam permohonannya, bagi mencabar tindakan JEC menjalankan prosiding inkuiri terhadapnya secara tertutup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2021.

HAKIM Mahkamah Rayuan Dr Hamid Sultan Abu Backer hari ini gagal dalam permohonannya, bagi mencabar tindakan Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) menjalankan prosiding inkuiri terhadapnya secara tertutup.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya yang membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC), untuk membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Hamid Sultan selaku pemohon.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali ketika dihubungi Bernama berkata, mahkamah membenarkan bantahan AGC selepas mendapati permohonan pemohon adalah pramatang, berikutan jawatankuasa itu masih belum membuat keputusan mengenai aduan terhadap Hamid Sultan.

“Oleh itu, mahkamah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman pemohon tanpa sebarang perintah terhadap kos,” katanya yang memaklumkan prosiding hari ini dijalankan melalui aplikasi Zoom, yang turut disertai oleh peguam Bastian Vendargon dan Joy Wilson Appukuttan, yang mewakili Hamid Sultan.

Sementara itu, Appukuttan ketika dihubungi berkata, tarikh baharu pendengaran prosiding inkuiri itu masih belum ditetapkan. Sebelum ini prosiding itu dijadualkan pada 25 November tahun lepas.

Pada 20 Oktober tahun lepas, Hamid Sultan telah memfailkan permohonan semakan itu dengan menamakan pengerusi JEC dan JEC masing-masing sebagai responden pertama dan kedua, dan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden seperti dalam surat responden pertama bertarikh 28 dan 29 Sept 2020, berhubung prosiding  inkuiri secara tertutup, selain deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah dan batal, serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat adalah Pengerusi JEC ketika ini.

Hamid Sultan, dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama semakan kehakiman berkata permohonan itu difailkan berdasarkan keputusan responden pertama, untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain, membabitkan penghakimannya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso  & satu lagi, serta afidavit yang disahkannya bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan bapanya, mendiang Karpal Singh.

Menurut Hamid Sultan, siasatan berhubung salah laku membabitkan hakim tidak boleh dilakukan secara tertutup, kerana ia bercanggah dengan prinsip kebebasan kehakiman.

Sementara itu, Appukuttan turut memaklumkan bahawa permohonan JEC dan pengerusinya untuk membatalkan saman pemula (saman pertama) Hamid Sultan, dibenarkan oleh hakim yang sama.

Peguam itu bagaimanapun berkata, saman berkenaan terhadap peguam Sangeet Kaur Deo dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla selaku defendan ketiga dan keempat, akan diteruskan dan 22 Feb ini ditetapkan untuk pengurusan kes saman itu.

Pada 9 Oktober tahun lepas, Hamid Sultan telah memfailkan saman terhadap keempat-empat defendan itu, berhubung dakwaan sama ada JEC boleh menyiasat penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya membabitkan isu sama.

Appukuttan juga berkata, beliau telah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan rayuan terhadap kedua-dua keputusan hari ini. – Bernama, 21 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen