Adun DAP kecam SOP Covid-19 untuk calon SPM, STPM


KPM dan KKM perlu rancang SOP pelajar calon SPM dan STPM yang perlu hadir ke sekolah, selain mewajibkan mereka jalani ujian saringan Covid-19 menerusi pembiayaan kerajaan, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2021.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu merancang prosedur operasi standard (SOP) untuk pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengumumkannya secepat mungkin, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Beliau berkata kementerian sudah pun terlewat untuk SOP pembukaan sekolah kepada pelajar SPM dan STPM semalam, yang menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa dikuarantinkan susulan ada pelajar  didapati positif Covid-19.

Rajiv merujuk kepada laporan berita berkenaan 86 calon SPM pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Lipis, Pahang yang kini dikenakan kuarantin selepas seorang pelajar didapati positif virus itu.

“Hanya sehari kembali ke sekolah dan sudah ada 86 pelajar terpaksa kena kuarantin.

“Ini sebabnya saya pertikaikan SOP KPM untuk pelajar bakal menduduki SPM 2020 yang dijadualkan bermula bulan depan.

“Setakat semalam, lebih 400,000 pelajar calon SPM dan STPM kembali ke sekolah untuk melakukan persiapan bagi menghadapi peperiksaan. Dengan kes harian dan Covid-19 semakin tinggi, seluruh negara (kecuali Sarawak) kini PKP.

“Tetapi pelajar ini kembali ke sekolah tanpa menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kedua-dua kementerian itu perlu menjawab dengan jelas apa akan berlaku kepada pelajar SPM yang positif Covid-19 dan kepada mereka yang berada di pusat kuarantin.

Pelajar SPM dan STPM kembali ke kelas fizikal semalam untuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada 22 Februari.

Kerajaan menarik balik keputusan mensyaratkan ujian saringan Covid-19 dikenakan terhadap pelajar sebelum kembali ke sekolah, susulan rungutan pelajar yang terpaksa menanggung sendiri kos ujian.

Rajiv berkata kerajaan sepatutnya membiayai ujian saringan untuk pelajar SPM dan STPM, dan mempertikaikan keutamaan peruntukan RM15 bilion menerusi pakej Permai yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkenaan penguatkuasaan PKP. – 21 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen