Pakar sahkan virus Afrika Selatan lebih mudah berjangkit


Setakat ini, Afrika Selatan mencatatkan lebih 1.3 juta kes Covid-19 dengan 37,105 jumlah kematian. – Gambar EPA, 19 Januari, 2021.

KUMPULAN pakar mengesahkan varian baharu koronavirus yang dikesan di Afrika Selatan lebih mudah menular berbanding jenis sebelumnya.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada bukti menunjukkan ia menyebabkan lebih banyak kematian.

Pakar epidemiologi yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Saintifik Kementerian Kesihatan Salim Abdool Karim berkata kadar kebolehjangkitan bagi varian baharu itu 50%.

“Tidak ada bukti varian baharu ini lebih berbahaya berbanding yang asal,” katanya.

Kumpulan pakar merumuskan varian yang kini dominan di Afrika Selatan itu melalui analisis daripada data kluster utama didapati di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata masih belum diketahui sama ada vaksin sedia ada berkesan terhadap varian baharu berkenaan.

Beberapa kajian giat dijalankan bagi menguji keberkesanan vaksin untuk melawan varian itu.

Setakat ini, Afrika Selatan mencatatkan lebih 1.3 juta kes Covid-19 dengan 37,105 jumlah kematian.

Menteri Kesihatan Zweli Mkhize dalam satu kenyataan semalam berkata kes baharu mencatatkan penurunan 23%, bagaimanapun jumlah pesakit yang dirawat di hospital pada minggu sebelumnya meningkat pada kadar 18.3%. – AFP, 19 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen