DAP pecat Adun Malim Nawar


Adun Malim Nawar Leong Cheok Keng dipecat daripada DAP berkuatkuasa serta-merta selepas gagal menjelaskan dakwaan rancangannya untuk keluar parti dan menyertai MCA. – Gambar Facebook, 18 Januari, 2021.

ADUN Malim Nawar Leong Cheok Keng dipecat daripada DAP berkuatkuasa serta-merta selepas gagal menjelaskan dakwaan rancangannya untuk keluar parti dan menyertai MCA, kata Chong Chieng Jen.

Chong yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin DAP berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa semalam.

Pemecatan itu dibuat selepas parti pada awal bulan ini meminta Leong memberi penjelasan berhubung laporan beliau memohon untuk menyertai MCA.

“Beliau tidak menjawab soalan jawatankuasa disiplin, sebaliknya memilih ke media dengan berkata tidak akan menjawab soalan jawatankuasa.

“Kedegilan dan kesombongan terhadap mekanisme disiplin parti seperti itu tidak boleh diterima,” kata Chong dalam satu kenyataan hari ini.

Chong berkata keengganan Leong untuk menjawab kepada jawatankuasa juga menunjukkan kebenaran terhadap laporan yang beliau memohon untuk menyertai MCA.

Sehubungan itu, Chong berkata ia kesalahan yang melanggar disiplin parti dan menjejaskan integriti pemimpin parti.

“Jawatankuasa disiplin tidak ada pilihan lain kecuali memecat keahliannya dengan serta-merta.”

Chong berkata perlembagaan DAP menyatakan ahli tidak boleh menjadi ahli kepada parti politik lain.

Katanya, mana-mana ahli didapati memohon atau menjadi ahli parti politik lain akan dipecatkan keahliannya dalam DAP.

Awal bulan ini, akhbar harian berbahasa Cina, China Press melaporkan spekulasi tentang 20 wakil rakyat DAP yang akan keluar parti.

Laporan itu berkata Leong akan memulakan tindakan itu dengan menyertai MCA, diikuti dengan wakil rakyat lain.

Leong lantang dalam mengkritik kepimpinan partinya, terutama Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming. – 18 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen