Umno umum tangguh perhimpunan agung


Perhimpunan Umno tahun ini menjadi perhatian kerana bakal membahas usul penting mengenai memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2021.

PERHIMPUNAN Agung Umno yang sepatutnya berlangsung pada 30 dan 31 Januari ditangguhkan, kata setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan.

“Tarikh baharu akan dimaklumkan kelak,” katanya yang menjelaskan penangguhan itu berikutan perisytiharan darurat dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun pemilihan parti untuk semua peringkat akan tetap diteruskan tahun ini pada tarikh yang sesuai, katanya.

Perkara itu dibuat mengikut persetujuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, katanya dalam satu kenyataan.

“Sementara itu, ahli Umno diingatkan agar sentiasa merapatkan barisan bagi menumpukan kepada isu membela dan membantu rakyat pada ketika yang begitu mencabar ini.”

Perhimpunan Umno menjadi perhatian kerana bakal membahas usul penting mengenai memutuskan kerjasama dengan Bersatu, parti pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Perikatan Nasional.

Usul berkenaan yang diluluskan untuk diangkat ke perhimpunan agung selepas dicadangkan di peringkat bahagian pada awal bulan ini.

Ia antara lain akan menentukan sama ada Umno akan terus bertanding bersama dengan Bersatu, atau menentang parti tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Darurat diisytihar berkuatkuasa bermula 11 Januari hingga 1 Ogos di seluruh negara manakala PKP berkuatkuasa secara berperingkat mengikut negeri terlibat. β€“ 18 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen