Bank terus tawarkan bantuan bayaran semula


Bank akan terus melanjutkan bantuan pembayaran semula pinjaman, termasuk lanjutan moratorium sedia ada bagi yang layak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2021.

BANK akan terus melanjutkan bantuan pembayaran semula pinjaman, termasuk lanjutan moratorium sedia ada bagi yang layak, kepada individu terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa ini, kata Persatuan Bank di Malaysia (ABM).

Dalam satu kenyataan bersama dengan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia, ABM berkata peminjam yang hilang pekerjaan tahun lalu atau 2021 boleh memohon untuk penangguhan bayaran bagi tempoh tiga bulan sebelum 30 Jun, 2021.

Katanya, individu yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan akibat pandemik boleh membuat permohonan untuk mengurangkan bayaran bulanan mereka selari dengan pendapatan yang berkurangan.

“Industri perbankan sedia membantu pelanggan susulan penguatkuasaan semula PKP di kebanyakan negeri dan Wilayah Persekutuan.

“Bank juga mengumumkan lanjutan bantuan pembayaran semula bagi mangsa banjir baru-baru ini di beberapa negeri. Sila hubungi bank anda untuk mohon bantuan bayaran semula bersasar,” kata kenyataan itu.

ABM berkata bank bersetuju untuk membenarkan pengisytiharan sendiri bagi kumpulan M40 yang menerima Bantuan Prihatin National, sementara individu dalam kategori B40 yang berdaftar dengan pangkalan data BPN boleh mohon untuk sama ada penangguhan bayaran ansuran tiga bulan, atau mengurangkan jumlah bayaran 50% selama enam bulan.

“Semua peminjam berdepan kesukaran membuat bayaran semula pinjaman dialu-alukan menghubungi bank untuk berbincang pakej bantuan bayaran yang memenuhi keperluan mereka dalam keadaan sekarang.

“Setakat 31 Disember, 2020 lebih 1.3 juta permohonan bantuan bayaran semula pinjaman diterima, dengan kadar kelulusan 95%,” katanya. – 18 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen