Apa pengajaran 9 bulan tangani Covid-19, soal ahli Parlimen


Warga asing menaiki bas di Bukit Bintang, Kuala Lumpur ketika penguatkuasaan PKP kali kedua dikuatkuasakan di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Januari, 2021.

KERAJAAN kelihatan seperti tidak belajar daripada pengalaman menguruskan pandemik Covid-19 sepanjang tempoh sembilan bulan lalu, kata bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming.

“Dengan pengalaman sembilan bulan mengendalikan pandemik Covid-19, apa yang kita belajar dan adakah kita buat perkara berbeza pada PKP 2.0 berbanding PKP kali pertama?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memberikan 10 soalan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Ong bertanya adakah orang ramai ada keyakinan terhadap pelan yang diumumkan kerajaan dalam melawan Covid-19.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan pada saat akhir selepas PKP kedua bermula, pusingan-U berkenaan sektor mana dibenarkan beroperasi seperti pembuatan automotif dan industri optik selain ketidaktentuan berkenaan pembukaan semula sekolah, mencerminkan kegagalan kerajaan dalam persediaan untuk PKP 2.0.

Beliau berkata keadaan ini sama seperti pepatah “gagal merancang, sama seperti merancang untuk gagal”.

Katanya, Malaysia mencecah angka tertinggi 4,029 kes baharu Covid-19 pada 16 Januari, pada minggu pertama bermulanya PKP 2.0.

“Bezanya, kita cecah kes tertinggi 235 pada 26 Mac, ketika PKP pertama,” katanya.

Katanya, pujian perlu diberikan kepada kepimpinan Dr Noor Hisham dan barisan hadapan petugas kesihatan atas usaha mereka melawan pandemik Covid-19, tetapi masih ada soalan yang perlu dijawab.

Sepuluh soalan itu antara lain berkaitan jumlah ujian harian Covid-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) dan peratusan harian kes positif; jumlah penjejak kontak yang digunakan; corak jangkitan yang dipantau berdasarkan data daripada MySejahtera dan pecahan kapasiti katil di unit rawatan rapi di setiap negeri.

Beliau juga meminta maklumat lokasi lebih tepat tentang kes Covid-19, didedahkan kepada umum.

Selain itu, Ong mempersoalkan tentang kadar jangkitan di sekolah di mana kelas fizikal diaakan pada 2020, situasi perumahan untuk pekerja warga asng dalam industri keselamatan, pembuatan dan pembinaan; bagaimana kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam melawan Covid-19.

Malaysia menguatkuasakan PKP pertama pada 18 Mac bagi mengehadkan penularan wabak selepas jumlah kes terkumpul mencecah 500. PKP dilonggarkan pada 9 Jun, di mana PKP bersyarat (PKPB) diperkenalkan.

Bagaimanapun, pelbagai peringkat PKP dikuatkuasakan pada 13 Januari, 2021 selepas tenaga kerja kesihatan semakin terbeban dan negara terus mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi iaitu empat digit.

PKP kini dikenakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor, Sabah dan Kelantan sementara PKPB di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu.

Perlis dan Sarawak, yang mencatatkan kes aktif Covid-19 paling rendah, kekal pada fasa PKP pemulihan. – 18 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen