Khazanah purba ditemui di Saqqara, Mesir


Khazanah purba ditemui di tapak arkeologi Saqqara di Mesir, termasuk keranda berusia lebih 3,000 tahun. – Gambar AFP, 18 Januari, 2021.

KERAJAAN Mesir semalam umum penemuan khazanah purba di tapak arkeologi Saqqara di Kaherah, termasuk keranda kayu berusia lebih 3,000 tahun, yang disifatkan sebagai bersejarah oleh ahli arkeologi terkemuka Zahi Hawass.

Saqqara adalah sebahagian daripada kota kuno Memphis, iaitu tapak Warisan Dunia Unesco terletaknya berpuluh piramid, biara kuno dan tempat pengebumian haiwan.

Pasukan penyelidik diketuai Hawass menemui khazanah berkenaan berhampiran piramid Raja Teti iaitu firaun pertama dinasti keenam kerajaan lama Mesir.

Hawass ketika mengumumkan penemuan itu berkata lebih 50 keranda kayu dari zaman Kerajaan Baru (abad ke 16 hingga abad ke 11 Sebelum Masihi) ditemui di sebuah tapak pengkebumian.

“Penemuan ini melakar sejarah baharu Saqqara, dan khasnya sejarah Kerajaan Baru yang wujud sejak 3,000 tahun dahulu,” katanya.

Pasukan arkelologi menemui 22 keranda termasuk satu mengandungi jasad seorang askar bersama sebilah kapak yang digunakan dalam perang, tambahnya.

Sebuah keranda batu turut ditemui, selain kertas sepanjang lima meter yang tertulis bab ke-17 buku berkenaan topeng, perahu dan permainan orang Mesir kuno.

Beberapa objek yang ditemui dipamerkan kepada media semalam.

“Tujuh puluh peratus (dari kawasan) masih tertanam,” kata Hawass. – AFP, 18 Januari, 2021.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen