Anwar tak habis-habis kejar jawatan, kata ketua penerangan Bersatu


Wan Saiful berkata sekarang bukan masa untuk berpolitik sebaliknya sebagai ketua pembangkang, Anwar sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat yang terjejas akibat penularan Covid-19 dan bencana banjir.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

ANWAR Ibrahim masih sibuk mengejar jawatan mahu jadi perdana menteri, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, selepas ketua pembangkang itu berkata pihak pembangkang akan mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung perisytiharan darurat.

Wan Saiful berkata sekarang bukan masa untuk berpolitik sebaliknya sebagai ketua pembangkang, Anwar sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat yang terjejas akibat penularan Covid-19 dan bencana banjir.

“Selepas mengaku mendapat sokongan yang “formidable and convincing” untuk kesekian kalinya, kali ini nak bawa kerajaan ke mahkamah pula. 

“Rakyat sepatutnya boleh lega kerana dalam tempoh darurat, orang politik sepatutnya kurangkan politik, boleh tumpu usaha bantu rakyat yang dilanda banjir dan Covid-19.

“Tapi ini masih tak habis-habis nak rampas kuasa. Nampak sangat terasing daripada realiti. Dah terlupa agenda rakyat sebab mengejar jawatan?” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Anwar hari ini dalam satu kenyataan mengumumkan hasrat pembangkang merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan rakyat daripada salah guna kuasa susulan tindakan kerajaan Muhyiddin Yassin memohon perkenan untuk perintah darurat.

“Pasukan undang-undang kami telah diarahkan untuk menyiapkan permohonan untuk mencabar perdana menteri dan kerajaan Malaysia atas pengisytiharan darurat yang tidak berasas,” katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Yang di-Pertuan Agong pada Selasa mengumumkan perkenannya untuk satu perisytiharan darurat dibuat bagi menangani pandemik Covid-19, kurang 24 jam selepas Muhyiddin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di beberapa negeri.

Menurut Wan Saiful, Anwar tidak wajar melemparkan tuduhan bahawa kerajaan tiada perancangan jelas untuk menangani Covid-19.

“Kalau ada pandangan yang lebih baik, cuba sebut apa cadangan itu! Bukan bermain cakap kosong saja,” katanya.

Wan Saiful menambah kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin “istiqamah fokus” dengan keperluan rakyat walaupun diganggu “dengan suara sumbang” seperti Anwar.

“Cadangan yang lebih baik satu pun tak ada, tapi tak habis-habis dengan cita-cita peribadi,” katanya. – 17 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen