Pencuri pecah atap, curi rumah korban nahas Sriwijaya SJ182, lapor media


Serpihan pesawat malang Sriwijaya Air yang terhempas dekat Pulau Seribu di Laut Jawa kira-kira empat minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta. – Gambar EPA, 17 Januari, 2021.

SEKUMPULAN pencuri memecah atap rumah mangsa korban pesawat penumpang Sriwijaya SJ182 di Banten, Indonesia, yang terbiar kosong sejak nahas pada 9 Januari lalu, lapor Kompas.

Kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat dan disedari oleh pembantu rumah yang datang ke kediaman itu semalam.

“Sudah lapor kepada polis. Sampai hati, ini pencuri biadab… (Kami) lagi berdukacita juga,” katanya, seperti dipetik Kompas.

Pembantu rumah yang dikenali dengan nama Yayu juga memberitahu antara barang yang hilang ialah kereta sorong bayi, sebuah basikal, tabung gas dan tabung air mineral.

Kediaman itu milik Arneta Fauzia, 39, yang terbunuh bersama tiga anaknya Zurisya Zuar berumur 8 tahun, Umbu Kristin Zia 2 tahun dan Fao Nuntius, bayi 6 bulan.

Arneta menaiki pesawat SJ182 untuk menziarahi suaminya Yaman Zai yang bekerja di Kalimantan, yang sudah setahun tidak berjumpa.

Pesawat yang mereka naiki bagaimanapun menjunam dan terhempas dekat Pulau Seribu di Laut Jawa kira-kira empat minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.

Pihak berkuasa Indonesia kini sedang meneliti maklumat daripada kotak hitam rakaman data penerbangan yang ditemui pada 12 Januari lalu.

Usaha masih diteruskan untuk mengesan kotak hitam kedua yang mengandungi rakaman suara di kokpit pesawat, lapor media. – 17 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen