Jumlah korban gempa di Sulawesi cecah 60 orang


Para penyelamat berusaha mencari dan menyelamatkan mangsa dalam runtuhan akibat gempa di Sulawesi, Indonesia, pada Jumaat lalu. – Gambar EPA, 17 Januari, 2021.

ANGKA kematian akibat gempa bumi kuat di Kepulauan Sulawesi, Indonesia meningkat kepada 60 orang, kata pihak berkuasa pada Ahad, dengan ribuan orang hilang tempat tinggal ketika penyelamat bekerja keras mencari mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan.

Hospital dipenuhi ratusan mangsa yang cedera selepas gempa 6.2 magnitud melanda pada awal pagi Jumaat, mencetuskan kepanikan di kalangan penduduk kemungkinan bencana gempa-tsunami 2018 yang mengorbankan ribuan nyawa.

Penyelamat berjaya mengeluarkan mayat dari bawah bangunan yang runtuh di Mamuju, bandar dengan 110,000 penduduk di provinsi Sulawesi Barat, yang memusnahkan sebuah hospital dan pusat membeli-belah.

Angka kematian rasmi adalah 56 - naik dari 46 pada Sabtu - tetapi jumlahnya kemungkin bertambah.

Tidak jelas berapa banyak lagi mayat yang berada di bawah runtuhan atau jika ada yang masih terperangkap tetapi masih hidup lebih dua hari selepas kejadian.

Pihak berkuasa belum memberikan angka sebenar mangsa yang terselamat.

Pada masa sama, ribuan yang hilang tempat tinggal akibat gempa itu menuju ke pusat perlindungan sementara - yang hanya sekadar khemah melindungi keluarga - yang turut dilanda hujan lebat monsun.

Mereka mengeluh kekurangan makanan, selimut dan bantuan lain, ketika bekalan kecemasan dihantar ke wilayah yang paling terjejas.

Banyak mangsa terselamat tidak dapat kembali ke rumah mereka yang musnah, atau terlalu takut untuk pulang kerana bimbang tsunami yang dicetuskan oleh gempa susulan, yang biasa terjadi selepas gempa kuat.

“Lebih baik berlindung sebelum sesuatu yang lebih buruk terjadi,” kata seorang penduduk Mamuju Abdul Wahab, yang berlindung di khemah bersama isteri dan empat anaknya, termasuk seorang bayi.

“Kami berharap kerajaan dapat segera memberikan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan susu untuk kanak-kanak,” tambahnya.

Bimbang akan tercetusnya Covid-19 di kem yang sesak, pihak berkuasa berkata mereka berusaha untuk mengasingkan kumpulan berisiko tinggi dan rendah.

Pusat gempa berada 36km selatan Mamuju dengan kedalaman 18km. – AFP, 17 Januari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen