DAP beri syarat untuk sertai panel penasihat darurat


Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng berkata kerajaan PN perlu beri jaminan jawatankuasa bebas mengenai darurat ia akan dijalankan secara telus dan ikhlas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2021.

DAP bersedia sertai jawatankuasa bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara berkaitan darurat jika pembangkang diberi peluang sama rata dalam menentukan hala tujunya, kata setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng.

Beliau juga berkata kerjasama dapat dicapai jika lebih lebih ramai anggota Parlimen pembangkang dan pakar turut dijemput sertai jawatankuasa itu bagi menjadikannya lebih “bebas”, lapor Malay Mail Online hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu memberi jaminan sebarang kerjasama akan dilakukan secara telus dan ikhlas.

“Kami akan menerima dengan ikhlas (sekiranya ada undangan) tetapi dengan syarat ketat bahawa penyertaan kami tidak akan digunakan untuk meluluskan sebarang tindakan tidak berperlembagaan oleh Muhyiddin,” kata bekas menteri kewangan itu.

Ahli Parlimen Bagan itu bagaimanapun mengingatkan Muhyiddin agar tidak mengambil kesempatan niat baik pembangkang sebagai jalan untuk “meluluskan” keputusan yang tidak berperlembagaan.

“Kami selalu bersedia bekerjasama melawan Covid-19 tetapi kami tidak mahu ia digunakan untuk mengawal kuasa,” kata Lim. 

Pada Selasa, sehari selepas Muhyiddin memperkenalkan semula perintah kawalan pergerakan (PKP), Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos untuk mengekang peningkatan jumlah jangkitan Covid-19.

Agong bersetuju selepas menerima Muhyiddin menghadap, yang menyampaikan cadangan daripada Kabinet pada Isnin.

Pakatan Harapan (PH) mengkritik keputusan melaksanakan peraturan darurat, dengan menolak kewajaran Muhyiddin meminta persetujuan Agong mengisytiharkan darurat sebagai taktik untuk terus berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata tiga anggota pembangkang akan duduk dalam panel tersebut.

Namun, dalam wawancara dengan RTM malam tadi, Takiyuddin memberitahu tiada yang dicalonkan daripada kalangan pembangkang.

Lim berkata pihaknya mahukan lebih penjelasan sebelum memutuskan sama ada pihaknya akan memberikan kerjasama.

“Ia juga mesti mendapat kata sepakat daripada anggota PH (lain).

“Tetapi bagi DAP, kami bersedia bekerjasama, tetapi seperti saya katakan, dengan syarat kami tidak akan digunakan untuk meluluskan tindakan tidak berperlembagaan,” katanya.

Lim menafikan dakwaan dengan bersetuju menyertai panel khas darurat akan menyokong Ordinan Darurat. 

Penyertaan dalam jawatankuasa itu memberi peluang kepada pembangkang untuk membatalkan peraturan darurat, tegasnya.

Hari ini, beberapa anggota Parlimen memberitahu The Malaysian Insight yang ahli Parlimen PH dan Pejuang akan memohon rayuan kepada Agong pada hari Isnin untuk membatalkan darurat. – 17 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen