WhatsApp tangguh perubahan perkongsian data


Whatsapp tangguh perubahan perkongsian data susulan kebimbangan pengguna mengenai kerahsiaan maklumat mereka sehingga beralih kepada perkhidmatan Telegram dan Signal. – Gambar AFP, 16 Januari, 2021.

WHATSAPP menangguhkan perubahan perkongsian data susulan kebimbangan pengguna mengenai kerahsiaan maklumat mereka sehingga beralih kepada perkhidmatan Telegram dan Signal.

Sehubungan itu aplikasi telefon pintar itu membatalkan tarikh akhir 8 Februari depan untuk menerima kemas kini terhadap terma berhubung perkongsian data dengan Facebook.

Ia memaklumkan, tempoh penangguhan berkenaan akan digunakan untuk menyelesaikan isu maklumat salah berhubung kerahsiaan dan keselamatan terbabit.

“Kami dengar betapa ramai orang ada banyak kekeliruan mengenai kemas kini terbaru itu.

“Kemas kini itu tidak akan memperluas kemampuan kami untuk mengongsikan data dengan Facebook,” kata WhatsApp dalam catatan blog.

WhatsApp berkata pihaknya akan berhubung dengan pengguna secara berperingkat untuk mengkaji semula dasar itu sebelum pilihan baharu disediakan pada 15 Mei depan.

Dalam satu lagi catatan blog sebelum ini, WhatsApp berkata ia dan Facebook tidak boleh membaca pesanan peribadi atau mendengar panggilan pengguna.

“Kami tidak menyimpan log mengenai siapa yang setiap orang menghantar pesanan atau menelefon. Kami tidak boleh melihat lokasi dikongsikan anda, begitu juga Facebook,” katanya.

WhatsApp memaklumkan, data lokasi bersama kandungan mesej adalah enkripsi sepenuhnya. – AFP, 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen