69 cawangan Maybank ditutup sementara


Maybank akan menghentikan sementara operasi di 69 cawangannya di beberapa negeri bermula hari ini, selaras dengan penguatkuasaan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) akan menghentikan sementara operasi di 69 cawangannya di beberapa negeri bermula hari ini, selaras dengan penguatkuasaan sekatan pergerakan.

Ini termasuk 20 cawangan di Kuala Lumpur dan Selangor, 10 di Johor, Pulau Pinang (9), Sabah (5), Negeri Sembilan (3) dan dua di Melaka.

“Susulan penguatkuasaan PKP (perintah kawalan pergerakan), kami pada masa ini menyemak kembali waktu operasi cawangan sementara beberapa cawangan lagi tidak akan dibuka, bermula 14 Januari.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan pelanggan dan kakitangan kami,” kata Maybank di Twitter.

Bank itu juga menyemak semula waktu operasi cawangannya mengikut zon.

Cawangan di kawasan dikenakan PKP Diperketat (PKPD) dan zon merah akan beroperasi dari 9.30 pagi hingga 2 petang, sementara di zon kuning ialah 9.30 pagi hingga 3 petang.

Bagi cawangan di zon hijau, bank akan beropasi dari 9.30 pagi hingga 4 petang.

Zon merah ialah kawasan di mana lebih 41 kes Covid-19 dilaporkan, sementara kawasan yang melaporkan antara 20 hingga 40 kes dikategorikan sebagai zon jingga. Zon kuning pula ialah kawasan di mana kes Covid-19 antara satu hingga 10 kes, manakala kawasan tiada kes dilaporkan ialah zon hijau.

“Demi keselamatan anda, kami menggalakkan pelanggan menggunakan platform digital perbankan bagi melakukan urusan pelanggan atau Maybank #EzyQ untuk membuat temu janji di cawangan anda atau ke laman web https://mybk.co/ezyq.

Senarai cawangan yang dibuka dan waktu operasi boleh dilihat di sini.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan semula PKP di enam negeri bermula 13 Januari hingga 26 Januari.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah sementara PKP Bersyarat (PKPB) di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Perlis dan Sarawak, yang merekodkan kes Covid-19 paling sedikit pada masa ini, kekal di bawah fasa PKP Pemulihan (PKPP). – 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen