Kegagalan dasar, pematuhan SOP punca PKP 2.0, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Pelaksanaan PKP semula erkuatkuasa hari ini berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2021.

PELAKSANAAN perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa hari ini disebabkan oleh kegagalan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah berkaitan tepat pada masanya dan masyarakat yang kurang mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata pakar perubatan.

Ini membawa kepada peningkatan jumlah harian Covid-19 mencecah empat angka, yang hampir melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan dan memaksa Putrajaya melaksanakan sekatan dengan lebih ketat.

Pakar Epidemiologi Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dari Universiti Malaya berkata pihak berkuasa hanya mensia-siakan PKP pertama yang dikuatkuasakan dari Mac hingga Mei tahun lalu.

“PKP 2.0 dikuatkuasakan ke atas kita kerana pihak berkuasa mensia-siakan PKP 1.0 dan tidak memberi perhatian kepada isu yang pernah saya bangkitkan sebelum ini.

“Ini termasuk masalah pekerja asing, pelaksanaan pindaan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990), pengawasan sindromik, analisis data yang lebih baik, petunjuk yang lebih baik, perancangan senario, semakan semula pelan kesiapsiagaan pandemik dan sebagainya.

“Kini kita menanggung akibat kerana tidak mendengar kata pakar dan tidak berpandukan kepada data. Sekiranya kita tidak melakukan sesuatu mengenai masalah ini, maka masa yang habiskan untuk PKP 2.0 akan disia-siakan lagi,” kata Awang Bulgiba kepada The Malaysian Insight.

Pihak berkuasa gagal mengesan dari awal kerana tiada sistem amaran awal, seperti pemantauan sindromik dan kurangnya usaha untuk menggunakan data dan teknologi sepenuhnya, katanya.

Beliau menyatakan pihak berkuasa tidak mengendahkan nasihat pakar kesihatan mengenai analisis data, tidak berkongsi data dan enggan melibatkan pakar tingkah laku dan pakar komunikasi.

“Akibatnya, kelesuan pandemik berlaku, mesej terus membingungkan rakyat dan double standard yang jelas membuat rakyat mempersoalkan apa gunanya mengikut SOP sedangkan VIP banyak yang terlepas,” kata Awang Bulgiba, yang juga pengerusi bagi pasukan analisis dan strategi epidemiologi Covid-19 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Kekurangan arahan dan strategi jelas dilihat selepas berpuas hati apabila kes menurun selepas gelombang kedua. PKP 2.0 terpaksanya dilakukan kerana sudah tiada alternatif lain, katanya.

Sekatan pergerakan selama dua minggu tidak akan mencukupi untuk melihat penurunan kes yang berterusan kerana kumpulan jangkitan sekarang adalah sejak dua minggu lalu, katanya.

Oleh itu, PKP selama enam hingga 12 minggu paling sesuai untuk melihat hasilnya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Isnin yang kemudahan kesihatan awam tidak lagi dapat menampung sehingga 2,000 kes Covid-19 baharu sehari, sambil menambah 70% katil unit rawatan rapi (ICU) di 15 hospital Covid-19 sudah penuh.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos untuk mengekang peningkatan jumlah jangkitan Covid-19.

Lebih 1,450 pekerja kesihatan tidak dapat menjalankan tugas kerana dijangkiti koronavirus atau ditempatkan di bawah kuarantin.

Sebanyak 476 kluster dilaporkan dalam gelombang ketiga sahaja, 259 di antaranya dikaitkan dengan tempat kerja. Secara perbandingan, hanya 110 kluster yang muncul pada gelombang kedua jangkitan dengan 25 membabitkan tempat kerja.

Sistem penjagaan kesihatan negara sudah tidak mampu menampung beban pesakit Covid-19 yang mencapai empat digit sehari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2021.

Sementara itu, Prof Madya Epidemiologi dan biostatistik Dr Malina Osman dari Universiti Putra Malaysia, berkata tidak tepat menuding jari kepada kerajaan kerana gagal menangani situasi pandemik.

“Dari perspektif kesihatan masyarakat, keberhasilan pengurusan wabak bergantung kepada penyertaan masyarakat, kerjasama antara sektor, memanfaatkan sumber daya yang ada dan polisi yang ada.

“Oleh itu, menyalahkan kerajaan terhadap situasi semasa yang berlaku mungkin tidak tepat.”

Beliau berkata langkah yang dilaksanakan di bawah PKP bersyara sesuai untuk mencapai keseimbangan antara keperluan ekonomi dan kesihatan.

Bagaimanapun, dengan sebilangan besar masyarakat yang tidak mematuhi SOP, kes harian meningkat hingga empat digit.

“Sistem ini mencapai tahap maksimum jika kemudahan di hospital tidak lagi dapat menerima pesakit untuk pengurusan (Covid-19 atau bukan Covid-19). Kami harap ia tidak akan sampai ke tahap itu,” kata Malina.

Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata walaupun kerajaan tidak gagal menangani wabak itu, ia harus menyusun semula strategi.

Sistem penjagaan kesihatan awam mungkin tidak dapat menangani kluster yang semakin bertambah dan kes baharu pada masa yang sama kerana sistem ini tidak cukup fleksibel untuk mendapatkan bantuan dari luar.

PKP dikenakan di enam negeri - Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai esok sementara PKPB akan dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Perlis dan Sarawak, yang mempunyai kes Covid-19 aktif paling sedikit pada masa ini, akan kekal dalam fasa PKP pemulihan. – 13 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen