Kes melonjak, KKM pertimbang benar pesakit kuarantin di hotel atau rumah


Ragananthini Vethasalam

Di media sosial, berlaku percanggahan apabila ada merungut keadaan di PKRC MAEPS teruk, manakala ada yang berkata pusat itu bersih dan memuaskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sedar tentang aduan di media sosial berkenaan keadaan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.

Disebabkan pusat ini hampir mencapai kapasitinya, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan untuk membenarkan kes positif yang mampu membayar, menjalani kuarantin di hotel, atau di rumah.

Katanya kepada The Malaysian Insight, peningkatan jumlah pesakit Covid-19 dijangka memberi kesan kepada kualiti penjagaan di PKRC.

“Bila tiba-tiba berlaku peningkatan jumlah pesakit, kualiti penjagaan akan berkurangan,” katanya, menjawab komen pesakit yang ditempatkan di PKRC MAEPS di media sosial.

Dr Noor Hisham berkata kerajaan pada masa ini mempertimbangkan pilihan alternatif pusat kuarantin bagi mereka yang mampu membayar.

“Ya, sedang dipertimbangkan untuk meletak pesakit positif di hotel atau jika majikan mempunyai asrama yang dalam keadaan baik, atau mungkin juga di rumah jika ia sesuai,” katanya.

Susulan jumlah katil yang makin berkurangan, Dr Noor Hisham terdahulu dilaporkan berkata mereka yang didapati positif Covid-19 tetapi tidak bergejala dinasihatkan untuk mengasingkan diri di rumah kerana mereka mungkin tidak dimasukkan ke hospital serta-merta.

Pada 4 Januari, beliau berkata kemasukan di PKRC akan diberi keutamaan mengikut kepada kemampuan kes positif untuk dikuarantin di rumah, merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai keadaan kondusif untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah.

PKRC MAEPS boleh menempatkan hingga 10,000 pesakit pada satu-satu masa digunakan untuk meletakkan pesakit dalam kategori satu (tidak bergejala) dan kategori dua (bergejala sederhana). – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.

Tidak diketahui berapa banyak kes positif yang tidak bergejala menjalani kuarantin kendiri di rumah pada masa ini, sejak pengumuman pertama Dr Noor Hisham berkenaan perkara itu pada hujung Disember lalu.

Dilaporkan, bulan lalu kapasiti katil di PKRC MAEPS, pada masa itu 6,000 katil, akan bertambah kepada 10,000 sebelum akhir bulan lalu.

Seorang wanita warga asing, Lucy Mole baru-baru ini menulis di Facebook mengenai pengalamannya di pusat itu termasuk masalah dihadapinya.

Beliau didapati positif Covid-19 dengan gejala sederhana, dan berkata menjalani kuarantin kendiri di rumah dalam keadaan baik dan makanan berkhasiat.

Tetapi memandangkan polisi KKM untuk semua kes positif dikuarantin, beliau dibawa ke PKRC PKRC, walaupun pada awalnya dimaklumkan akan dihantar ke hospital.

Di pusat itu katanya, tidak ada sabun atau tisu di tandas, berlaku kebocoran paip atau bekalan air yang kurang, sementara pesakit tidur dalam keadaan sejuk di katil khemah, dan lampu sentiasa dipasang.

Katanya, beliau sudah memberitahu jururawat berulang kali bahawa beliau seorang vegetarian, tetapi kerap menerima makanan yang bukan vegetarian.

Secara keseluruhan katanya, pusat itu kekurangan cecair pembasmi kuman, tong sampah penuh, tong pembahagi air kotor, dan kerja pembersihan tidak dilakukan secara kerap.

“Pesakit sembunyikan gejala mereka supaya tidak perlu terus berada di sini,” katanya.

Katanya, beliau turut diberitahu oleh kakitangan perubatan hanya ada dua doktor untuk memeriksa lebih 2,000 pesakit wanita dan kanak-kanak di pusat itu.

Bagaimanapun, berlaku percanggahan berkenaan keadaan di pusat itu, di media sosial.

 

 

Pengguna Twitter, Afifie Chan berkata PKRC MAEPS dalam keadaan selesa dan bersih.

 “Keadaan di dalam pusat. Menakutkan? Tidak langsung. Selesa dan bersih. Anda lihat sendiri. Kain putih digantung di katil sebagai penghadang kepada lampu yang dipasang 24 jam,” katanya.

Afifie turut memuat naik video pendek dirakamkan di pusat itu dalam posting berkenaan, menunjukkan katil dua tingkat, bukannya katil khemah, seperti ditulis oleh Mole.

Afifie turut memuji, dihidangkan makanan tiga kali sehari, menambah makanan dan ubat dihatar ke katil pesakit.

Pusat itu yang boleh menempatkan hingga 10,000 pesakit pada satu-satu masa digunakan untuk meletakkan pesakit dalam kategori satu (tidak bergejala) dan kategori dua (bergejala sederhana).

Jumlah kes positif Covid-19 harian kini lebih 2,000, dengan rekod tertinggi 3,027 pada 7 Januari.

Setakat semalam, terdapat 28,554 kes aktif. – 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen