Rina Harun positif Covid-19, kata pejabat menteri


Ragananthini Vethasalam

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun positif Covid-19 selepas memperoleh keputusan ujian saringan malam tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2021.

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengesahkan ujian dijalankan mendapati menterinya Rina Harun positif Covid-19.

Keputusan ujian saringan ke atas Rina yang juga ketua Wanita Bersatu itu diperolehi pada malam tadi dan kini menjalani rawatan di hospital, menurut kenyataan dikeluarkan pejabat menteri itu.

“Rina dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada jam 11.00 pagi hari ini untuk pihak hospital menjalankan pemantauan lanjut dan akan mematuhi segala garis panduan berkaitan ...”

Rina merupakan antara menteri yang menghadiri mesyuarat Kabinet juga satu lagi mesyuarat parti bersama menteri dari Bersatu Mustapa Mohamed yang disahkan positif Covid-19.

Salah seorang daripadanya, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan kesemua menteri diarahkan menjalani ujian.

“Ya, semua diarahkan buat ujian swab. dan saya sudah buat pagi tadi. Saya terima (arahan) dari urusetia Kabinet,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dua menteri yang duduk di sebelah Mustapa dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu, Redzuan Md Yusof dan Saifuddin Abdullah mengumumkan sedang menjalani kuarantin kendiri.

Mustapa semalam mengesahkan beliau diuji positif Covid-19 pada Sabtu. Beliau kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu. – 11 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen