Rakyat merempat dalam kereta, KM dapat Mercedes baharu, kata pembangkang


Gambar Ketua Menteri Chow Kon Yeow menaiki kereta berharga hampir RM500,000 dengan diiringi pemimpin kerajaan negeri turut tular di media sosial. – Gambar Facebook, 8 Januari, 2021.

KERAJAAN Pulau Pinang tidak wajar membeli kereta mewah untuk kegunaan ketua menteri sewaktu rakyat menderita kerana tekanan akibat pandemik Covid-19, kata pembangkang.

Pemimpin Gerakan, Puvaniten Helan Govan berkata ia turut menunjukkan sikap tidak konsisten DAP yang sebelumnya akan terus mengkritik jika kerajaan persekutuan membeli kereta seperti itu.

“Sekiranya kerajaan persekutuan menukarkan kereta rasmi, ia cepat dipersoalkan oleh DAP tetapi apa guna pemimpin kerajaan negeri ini menggunakan kereta mewah (jika) nasib rakyat begitu teruk sekali,” katanya.

Ketua biro perpaduan nasional Gerakan itu berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang membeli Mercedes Benz S560e seperti dilaporkan media semalam.

Gambar Ketua Menteri Chow Kon Yeow menaiki kereta berharga hampir RM500,000 tersebut dengan diiringi pemimpin kerajaan negeri turut disiarkan akhbar.

Pembelian kereta mewah itu meraih kritikan seperti dari pemimpin penaja parti Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman yang juga berpendapat ia tidak patut dilakukan sewaktu rakyat menderita akibat pandemik.

Puvanita pula berkata, pembelian itu tidak patut, apatah lagi kerana harganya hampir dua kali ganda dari harga kereta rasmi sebelum ini Mercedes S300L yang dibeli dengan harga hampir RM300,000.

Mengulas lanjut, alasan menukar kereta itu tidak masuk akal kerana kerajaan sepatutnya mengutamakankebajikan rakyat Pulau Pinang dan bukan bermewah dengan kereta baharu.

“Ada rakyat Pulau Pinang yang hidup sengsara tinggal di dalam kereta sehingga 8 bulan meneruskan kehidupan dan mandi di tandas awam.

“Ini adalah salah satu contoh bagaimana situasi kebajikan rakyat Pulau Pinang begitu terabai dan tidak terjaga langsung sehingga ada yang terpinggir dan terlepas pandang.

“Ianya hanya mendapat perhatian setelah viral di dalam media sosial,” katanya yang merujuk kes sebuah keluarga yang terpaksa merempat di dalam kereta kerana tidak mampu menyewa kediaman.

Keluarga tersebut terpaksa menjadikan sebuah kereta Proton Iswara sebagai rumah sejak lapan bulan lalu dan hanya menumpang mandi di tandas awam selepas kediaman mereka dijilat api.

Keluarga Ganesh Soundarajah itu kemudian dibantu pendakwah selebriti dan dermawan Ebit Lew yang menyediakan kediaman dan kelengkapan rumah selepas kisahnya tular. – 8 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen