Desak pilihan raya sekarang kemaruk kuasa, kata Annuar Musa


Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata Umno sensitif dengan penderitaan rakyat yang terbeban dengan pelbagai masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2021.

TINDAKAN mendesak pilihan raya diadakan sekarang menunjukkan sikap kemaruk kuasa dan tidak sensitif dengan penderitaan rakyat yang terbeban dengan pelbagai masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan banjir, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Annuar adalah menteri dari Umno yang kedua selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang menyifatkan desakan itu tindak bertanggungjawab, ketika sebahagian dalam Umno mahu pilihan raya diadakan sebelum April tahun ini.

“Mendesak pilihan raya di saat rakyat dan negara berhempas pulas dengan Covid-19, banjir, ekonomi jelas mencerminkan bukan saja tidak bertanggungjawab tapi memperagakan kemaruk kuasa dan tidak sensitif kepada derita rakyat.

“Itu bukan kehendak akar umbi,” tulis Annuar di Twitter malam tadi.

Annuar kelmarin digugurkan dari jawatan setiausaha agung Barisan Nasional dan Muafakat Nasional, ketika beliau dianggap lebih kuat membawa suara Bersatu dan Perikatan Nasional berbanding Umno dan Barisan Nasional.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Rabu mengesahkan usul desakan pilihan raya umum segera dalam suku pertama tahun ini diangkat untuk diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 pada 31 Januari ini.

Dalam satu tweet sebelum mesyuarat itu, Khairy memberikan pandangan tidak setuju pilihan raya diadakan segera di tengah pandemik Covid-19 yang belum reda.

“Saya tahu antara yang minta PRU segera adalah mereka dari parti saya sendiri. Jangan pentingkan diri sendiri,” tulis Khairy.

Semalam, Malaysia mencatatkan 3,027 jangkitan baharu Covid-19, yang tertinggi dalam masa 24 jam. Ia juga adalah kali pertama Malaysia merekodkan lebih 3,000 kes sehari sejak kes pertama dikesan di negara ini pada Januari 2020.

Penularan Covid-19 merebak dengan berleluasa selepas gelombang ketiga daripada sekitar 11,000 kes pada hujung September 2020 meningkat sehingga lebih 125,000 kes minggu ini. – 8 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen