Pulau Pinang sudah ambil langkah wajar kekang Covid-19, kata Ramasamy


Ragananthini Vethasalam

Pulau Pinang menjadi negeri yang menyaksikan semua daerah diwartakan sebagai zon merah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2021.

MENGASINGKAN dan mengawal pergerakan pekerja asing merupakan antara langkah tambahan yang dilaksanakan di Pulau Pinang susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negeri, kata P Ramasamy.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang II itu berkata ini selepas Pulau Pinang menjadi negeri yang menyaksikan semua daerah diwartakan sebagai zon merah.

Setakat 5 Januari 1,218 kes aktif direkodkan di negeri itu.

“Walaupun perintah kawalan pergerakan bersyarat ditamatkan di Pulau Pinang, langkah pengasingan dan kawalan terutamanya di kawasan yang mempunyai pekerja asing dilaksanakan.

“Kita turut mengklasifikasikan zon mengikut jumlah kes, kawasan baharu untuk ujian saringan dan kuarantin, dan dan lain-lain untuk mengawal wabak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Adun Perai itu berkata walaupun kerajaan negeri mungkin memulakan sesuatu yang baik untuk mengawal pandemik di peringkat awal, ia harus mengambil pandangan yang lebih seimbang memandangkan tuntutan untuk membuka sektor ekonomi dan orang yang menderita.

Katanya walaupun kes meningkat, penting untuk negeri kekal yakin dalam mengambil pelbagai langkah untuk mengawal penularan.

“Saya tidak pasti sama ada peningkatan kenaikan kes Covid-19 disebabkan lonjakan secara tiba-tiba, atau apakah ini disebabkan oleh pengesanan kes baru hasil daripada ujian saringan terutama pekerja asing,” katanya.

“Mungkin ada kes baru tetapi yang positif adalah ada lebih banyak pemeriksaan dan proses identifikasi.

“Mungkin peningkatan mendadak menunjukkan proses saringan yang lebih baik dan berkesan, fasa yang diperlukan untuk akhirnya mengawal penyakit ini,” tambahnya.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan pelonggaran sekatan dan tindakan penguatkuasaan menjadi punca peningkatan kes jangkitan.

Beliau berharap ketersediaan vaksin dapat membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan wabak ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow baru-baru ini berkata lebih banyak kemudahan milik kerajaan akan ditukar menjadi pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah.

Ini termasuk kawasan Tapak Pesta di Sungai Nibong dan Kompleks Sukan Balik Pulau.

Chow juga berkata peningkatan kes di negeri itu berpunca daripada ujian saringan berterusan terhadap pekerja asing di tapak pembinaan dan kilang sejak 9 Disember. – 7 Januari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen