Hadi cuba selamatkan Umno-Bersatu daripada berpecah, kata laporan


Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata penting untuk semua parti Melayu terus bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2021.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan sedang cuba mendamaikan perbalahan antara Umno dan Bersatu bagi menyelamatkan hubungan kedua-dua parti Melayu itu daripada hancur.

Menurut sumber yang dilaporkan The Star, Hadi tidak mahu melihat perpecahan kerjasama politik kedua-dua parti itu kerana “penting bagi semua parti Melayu untuk terus bersatu”.

Beberapa minggu kebelakangan ini, pemimpin dan ahli akar umbi Umno mahu pemimpin mereka memutuskan semua hubungan dengan Bersatu, parti serpihan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Mereka tidak melihat perlunya meneruskan hubungan dengan Bersatu lagi kerana parti dan Umno tidak sependapat dengan banyak perkara,” kata akhbar berbahasa Inggeris memetik sumber itu.

Hadi dilaporkan menjalankan misi itu selepas para pemimpin Umno menyuarakan kepada kepemimpinan PAS mengenai kemungkinan berakhirnya hubungan susulan keputusan akar umbi Umno. – 6 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen