Umno desak Muhyiddin segerakan PRU15


PRU15 mesti disegerakan untuk mengembalikan mandat rakyat, ditambah pula kerajaan PN tidak stabil kerana mempunyai majoriti tipis, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2021.

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan secepat mungkin demi kestabilan politik negara, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Beliau dipetik Umno Online berkata PRU15 mesti disegerakan untuk mengembalikan mandat rakyat, ditambah pula kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak stabil kerana mempunyai majoriti tipis.

“Oleh kerana kerajaan PN mempunyai majoriti paling tipis di dalam dunia. Untuk menjadi kerajaan kena ada 112 dan kerajaan ini cuma ada 112. Oleh itu kita mengesyorkan agar diadakan pilihan raya umum secepat mungkin.

“Saya kira eloklah kestabilan politik dikembalikan dalam negara kita dan kita harap bukan 111 campur satu lagi, apabila lepas pilihan raya 111 campur 40 atau campur 50 supaya kerajaan ini stabil,” kata Ahmad.

Ahli Parlimen Pontian itu turut menegaskan pandemik Covid-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pilihan raya memandangkan vaksin akan mula diperolehi bulan depan.

“Jangan jadikan Covid-19 sebagai alasan untuk kita menunda-nunda apa yang sepatutnya dilakukan. 

“Apabila telah sampai vaksin tidak ada lagi alasan untuk menjadikan Covid-19 halangan untuk pilihan raya umum,” tegasnya.

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman juga semalam berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Malah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail meminta Bersatu jangan bertanding di Pahang, kerana Bersatu langsung tiada satu kerusi pun di negeri itu baik di peringkat Parlimen mahupun DUN.

Sementara itu, portal Free Malaysia Today hari ini melaporkan Umno Pulai menjadi bahagian pertama meluluskan usul sebulat suara supaya parti itu “menolak penyertaan dalam PN,” sekali gus mencetuskan pilihan raya umum.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed dipetik berkata wujud gelombang kuat dalam parti mahukan Umno dan Barisan Nasional segera keluar daripada kerajaan PN supaya “bebas” menghadapi PRU15.

Menurutnya, sentimen dalam kalangan akar umbi parti semakin “menebal” bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal menangani isu rakyat serta tidak berupaya mengurus tadbir negara dengan baik. – 3 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen