Senat lulus RUU pertahanan, kuasa veto Trump dinafikan


Presiden Donald Trump terima tamparan hebat apabila Senat AS meluluskan RUU Pertahanan, sekali gus menafikan kuasa vetonya yang membantah RUU itu. – Gambar EPA, 2 Januari, 2021.

PRESIDEN Donald Trump menerima tamparan hebat apabila Senat Amerika Syarikat (AS) meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pertahanan, sekali gus menafikan kuasa vetonya yang membantah RUU itu.

RUU terbabit diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila mendapat 81 undian bersetuju berbanding 13 yang tidak bersetuju, secara tidak langsung meluluskan peruntukkan AS$740.5 bilion (RM2.99 trilion) bagi Akta Pemberi Kuasa Pertahanan Nasional untuk tahun fiskal 2021.

Pemimpin Republikan, Mitch McConnell berkata sudah tiba masanya RUU itu diluluskan.

“Inilah peluang kita memberitahu semua anggota pertahanan dan keluarga mereka bahawa kita sentiasa berada di belakang dan menyokong mereka,” katanya.

Pemimpin tertinggi Demokrat dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera Senator Jack Reed berkata RUU terbabit amat diperlukan dalam meningkatkan keselamatan siber negara menentang sebarang serangan bersasar terhadap kerajaan dan segelintir syarikat swasta seperti yang berlaku baru-baru ini.

Mengulas dakwaan Trump kononnya RUU itu akan menguntungkan Moscow dan Beijing, Reed berkata, dakwaan terbabit tidak berasas.

Malah, ahli Republikan dari parti Trump sendiri, Senator Jim Inhofe, menegaskan RUU terbabit amat diperlukan demi kepentingan keselamatan dan anggota tentera AS.

Bukan sekadar memberi tamparan kepada Trump, tindakan meluluskan RUU terbabit dilihat sebagai langkah akhir ahli Kongres yang bakal menamatkan tugasan mereka.

Ahli Kongres baharu akan mengangkat sumpah pada Ahad ini, kira-kira 17 hari sebelum Joe Biden secara rasmi menggantikan Trump. – AFP, 2 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen