PKPP dilanjut ke 31 Mac


Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata mereka yang berada di kawasan terlibat perlu mematuhi arahan pihak berkuasa mengenai pergerakan dan aktiviti mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

PUTRAJAYA melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tiga bulan lagi sehingga Mac 2021, selepas tempoh sebelum ini tamat tengah malam tadi.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata di bawah lanjutan itu, pelancongan domestik dan domestik antarabangsa, aktiviti pub dan kelab malam (kecuali perniagaan restoran dalam pub dan kelab malam) dan aktiviti yang mana penjarakan fizikal sukar dilakukan adalah dilarang.

“Peraturan ini boleh dinamakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.9) 2020.

“Peraturan-peraturan ini berkuatkuasa bagi tempoh mulai 1 Januari 2021 hingga 31 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara pada tengah malam tadi.

Pihak berkuasa juga dibenarkan untuk mengeluarkan arahan berhubung pergerakan dan aktiviti mana-mana individu dalam kawasan yang tertakluk dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mereka yang melangar peraturan boleh didenda sehingga RM1,000, dipenjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Sebanyak 2,525 kes baharu direkodkan semalam dan merupakan yang tertinggi sejak pandemik melanda pada Mac 2020 manakala kes aktif kini mencecah 23,598.

Difahamkan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dijangka akan membuat pengumuman lanjutan PKPP hari ini.  – 1 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen