Dr Mahathir silap pasal DAP, kata Kit Siang


Lim Kit Siang berkata DAP menang lebih daripada 18 kerusi sejak pilihan raya umum 1986. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

DR Mahathir Mohamad tersilap apabila mendakwa beliau membantu DAP dapat sokongan daripada orang Melayu sampai parti itu boleh menang 42 kerusi dalam pilihan raya umum yang lalu, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata kenyataan Dr Mahathir bahawa DAP sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya boleh menang 18 kerusi saja tidak tepat kerana parti menang lebih daripada itu sejak pilihan raya umum 1986.

Jelas Lim, walaupun berdepan cabaran besar untuk mendapat sokongan Melayu, terutamanya dengan kempen pembohongan mengenainya, DAP tidak pernah mengalah.

“Saya mengaku Mahathir membantu DAP menang 42 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 2018 tetapi untuk mengatakan DAP tidak boleh menang lebih daripada 18 kerusi parlimen tidak betul sama sekali,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri menjelaskan DAP menang 24 kerusi Parlimen pada 1986, 20 pada 1990, 28 pada 2008 dan 38 pada 2013, sebelum menang 42 kerusi pada 2018.

Lim juga menegaskan DAP tidak berganjak sama sekali daripada prinsip perjuangannya mahu mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia berbilang kaum yang bersatu padu.

“Marilah kita bergerak ke hadapan seiring dengan masa. 

“Langkah pertama ialah dengan seluruh rakyat Malaysia bersetuju untuk menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu, dengan slogan ‘rakyat Malaysia bersatu’ dan bukannya ‘Melayu bersatu’, ‘Cina bersatu’, ‘India bersatu’, ‘Iban bersatu’ atau ‘Kadazan bersatu’.

“Hanya dengan itu kita boleh capai cita-cita Bangsa Malaysia yang dibayangkan dalam Wawasan 2020 yang gagal,” katanya.

Dr Mahathir membuat kenyataan yang dipertikaikan oleh Lim dalam satu wawancara dengan akhbar berbahasa Mandarin, China Press.

Dalam wawancara dengan China Press, bekas perdana menteri dipetik berkata: “Saya membantu pembangkang menang (dalam PRU14) sebab saya bawa sokongan Melayu. Anda tahu DAP, yang tidak pernah boleh dapat lebih daripada 18 kerusi, dapat 42 kerusi kerana sokongan Melayu yang saya bawa.”

Dr Mahathir yang mengasaskan Bersatu pada September 2016 menyertai Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU14 untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

PH menang PRU14 dan membentuk kerajaan di Putrajaya, namun bertahan hanya 22 bulan sebelum tumbang akibat percaturan politik yang menyaksikan Bersatu keluar daripada gabungan itu.

Dr Mahathir yang tidak bersetuju dengan langkah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudian tersingkir daripada parti yang diasaskannya sendiri, lalu membentuk sebuah parti baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang kini menunggu kelulusan pendaftaran. – 1 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen