Perancis cadang panjangkan masa tempoh berkurung


Perancis bercadang untuk memanjangkan tempoh perintah berkurung pada waktu malam, iaitu dari 6 petang hingga 6 pagi, bagi membendung penularan Covid-19. – Gambar EPA, 30 Disember, 2020.

PERANCIS bercadang untuk memanjangkan tempoh perintah berkurung pada waktu malam bagi membendung penularan Covid-19, kata Menteri Kesihatan Olivier Veran semalam.

Kerajaan negara itu buat masa ini tidak akan melaksanakan perintah berkurung penuh, tambahnya.

Cadangan melanjutkan masa sekatan sedia ada, iaitu dari 8 malam hingga 6 pagi itu, akan bermula pada 6 petang di kawasan yang paling teruk terjejas dilanda gelombang kedua wabak Covid-19, kata Veran di stesen televisyen France 2 semalam.

Perubahan waktu itu dicadangkan dikuatkuasakan mulai Sabtu, tambah beliau.

Katanya, langkah terbaharu itu telah dibincangkan pada mesyuarat menteri-menteri kanan bersama pegawai kesihatan semalam, yang dipengerusikan oleh Presiden Emmanuel Macron.

Kementerian Kesihatan bagaimanapun berkata lanjutan tempoh berkurung mungkin akan diperluaskan kepada 20 wilayah.

Pengumuman itu dibuat selepas Perancis merekod 11, 395 kes baharu Covid-19 semalam. Ia juga dibuat selepas mendapat saranan jawatankuasa kesihatan yang juga memberi amaran kes dijangka melonjak akibat perhimpunan sempena sambutan Krismas dan Tahun Baru.  – AFP, 30 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen